suria

Pelanggan sentap, tak boleh terima dipanggil ‘pakcik’ depan isteri… Siap bawa geng belasah tauke kedai sari

Pemilik kedai sari itu dibelasah pelanggannya kerana tersilap memanggil 'pakcik'. -Foto Indiatoday

SEORANG pemilik kedai pakaian cedera dipukul oleh pelanggannya kerana didakwa memanggil lelaki tersebut sebagai 'pakcik' di hadapan isterinya.

Dalam kejadian yang berlaku di Madhya Pradesh, India, mangsa yang dikenali sebagai Vishal iaitu pemilik kedai sari, mendakwa dia dibelasah oleh pelanggan tersebut dan beberapa rakan lelaki itu di hadapan kedainya.

Insiden bermula apabila tertuduh yang dikenali sebagai Rohit, telah datang ke kedai mangsa pada Sabtu bersama isterinya untuk membeli sari.

Berniat mahu membantu, mangsa bertanya kepada tertuduh dan isterinya tentang anggaran harga sari yang mahu dibeli.

Tanpa sengaja, mangsa memanggil tertuduh dengan gelaran 'pakcik' dan perkara itu menimbulkan kemarahan tertuduh sehingga mencetuskan pergaduhan.

Tertuduh bertindak meninggalkan kedai sari itu bersama isterinya.

Tidak lama kemudian, dia kembali semula ke kedai mangsa bersama beberapa lelaki, dan terus mengheret mangsa keluar dari kedai seterusnya mula membelasah lelaki tersebut dengan kayu, tali pinggang dan juga menendangnya beberapa kali.

Tertuduh kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa yang cedera pergi ke balai polis untuk membuat laporan terhadap tertuduh dan rakan-rakannya.

Dia kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Polis dalam kenyataannya berkata pihaknya sedang menjejaki tertuduh bersama rakan-rakannya. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain