suria

Gunung berapi meletus awal pagi, sekurang-kurangnya 9 penduduk terbunuh

Sembilan penduduk terbunuh akibat letusan yang berlaku pada awal pagi Isnin.

GUNUNG Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berapi aktif di Pulau Flores, Indonesia Timur, meletus awal pagi Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, kata seorang pegawai tempatan.

Ketua tindak balas kecemasan dan logistik untuk daerah Flores Timur, Avi Manggota Hallan, berkata pasukan penyelamat masih mencari mangsa-mangsa lain yang berkemungkinan terperangkap di bawah runtuhan.

"Kami masih menjalankan penilaian, dan mungkin terdapat lebih banyak korban," kata Hallan.

Tambah Hallan, kerajaan sudah mengisytiharkan darurat di kawasan yang terjejas sehingga 31 Disember ini, kata Hallan.

Letusan itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk kampung berdekatan sehingga ramai yang melarikan diri dari rumah mereka ketika kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Letusan Gunung Merapi... 11 pendaki ditemukan maut, 12 masih hilang

"Gunung berapi meletus sekitar jam 12.30 pagi waktu tempatan. Sebuah keluarga enam orang tertimbus di bawah runtuhan,

"Pegawai baru sahaja tiba di lokasi untuk menjalankan pemindahan," kata ketua kampung tempatan, Petrus Muda.

Untuk rekod, letusan ini berlaku selepas beberapa siri letusan gunung berapi lain di Indonesia.

Pada Mei lalu, gunung berapi di pulau terpencil Halmahera, Gunung Ibu turut meletus, menyebabkan pemindahan penduduk dari tujuh kampung.

Gunung Ruang di Sulawesi Utara juga meletus pada Mei lalu, memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih daripada 12,000 orang.

Banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi di Sumatera Barat melanda beberapa daerah berdekatan selepas hujan lebat pada 11 Mei, mengakibatkan lebih daripada 60 orang terbunuh. - Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain