MALANG tidak berbau, seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera parah selepas lif yang dinaiki mereka gagal berfungsi dan terhempas.
Difahamkan, lif tersebut tidak mampu menampung berat melebihi 300 kilogram (kg), menyebabkan ia jatuh.
Kejadian berlaku di sebuah bangunan lima tingkat di Taling Chan di Bangkok, Thailand.
Lif tersebut, yang terletak di sebelah kiri bangunan di tingkat bawah, jatuh menyebabkan kematian seorang ketua juruteknik berusia 43 tahun.
Mangsa ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan berlumuran darah.
Tiga lagi mangsa iaitu pemilik syarikat berusia 51 tahun, warga Myanmar dan Laos masing-masing berusia 25 dan 26 tahun, mengalami kecederaan parah.
Kesemua mereka dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Hasil siasatan mendapati lif yang digunakan mangsa merupakan model lama dengan siling terbuka, disokong oleh satu kabel dan hanya mampu menampung berat maksimum 300kg.
Cangkuk bahagian atas lif tersebut patah, menyebabkan lif itu terjatuh.
Polis dan pasukan forensik di lokasi kejadian. Foto KhaoSod
Seorang pekerja berusia 48 tahun berkata, sebelum kejadian berlaku, ramai orang sedang mengalihkan barang untuk membina sangkar burung di tingkat lima.
Kombinasi berat barang dan penumpang dengan kebanyakannya berbadan besar, mungkin melebihi kapasiti, mengakibatkan kabel terputus dan sebelum lif tersebut jatuh.
Pemeriksaan yang lebih teliti mendapati lif tersebut mempunyai ketinggian kira-kira 2 meter dengan siling terbuka.
Tiang-tiang kayu yang dipasang sepanjang 3 meter, menyebabkan kabel terkena siling bangunan apabila lif mencapai tingkat atas.
Disebabkan reka bentuknya yang lama, lif tersebut tidak dilengkapi sensor dan ia cuba untuk kembali kepada kedudukan asal.
Siasatan lanjut mengenai kejadian yang meragut nyawa itu sedang berjalan. - Agensi
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube