SEORANG warga emas terjatuh ke dalam lubang benam atau sinkhole di atas sebuah lombong terbiar ketika mencari kucing peliharaannya yang hilang.
Elizabeth Pollard, 64, kali terakhir dilihat pada petang Isnin sekitar pukul 5 petang waktu tempatan di kawasan Unity Township, Pennsylvania barat, Amerika Syarikat, sebelum dia terjatuh ke dalam lubang itu.
Operasi menyelamat besar-besaran melibatkan puluhan pegawai dan anggota bomba dilancarkan sejurus insiden itu dilaporkan.
Bagaimanapun, polis negeri dalam satu sidang media pada Selasa mengesahkan mereka masih gagal mencari mangsa selepas lebih 24 jam dia dilaporkan jatuh ke dalam lubang itu.
Pasukan penyelamat juga sudah memasuki lombong arang batu terbiar, tempat Elizabeth dipercayai terperangkap.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk berpindah selepas muncul ‘sinkhole’ sedalam 15 meter, runtuhan makin teruk gara-gara hujan lebat
Menurut keluarganya, Elizabeth tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari kucingnya, Pepper.
Mereka mula risau apabila mangsa masih belum pulang sehingga pukul 1 pagi keesokan harinya, lalu membuat laporan kecemasan.
Pegawai penyelamat yang menjalankan pencarian di sekitar kawasan Monday’s Restaurant berjaya menemui kereta milik mangsa yang diparkir berhampiran lokasi itu.
Ketika memeriksa kawasan sekitar, pihak berkuasa menemui sebuah lubang benam yang disyaki menjadi lokasi mangsa terjatuh.
Lubang tersebut, yang bersaiz seperti penutup lubang pembetung, dianggarkan berkedalaman 9.14 meter.
Setakat ini, pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat bagi membawa Elizabeth keluar dari lokasi kejadian. - Agensi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube