KEJADIAN lubang benam atau 'sinkhole' sedalam 15 meter menyebabkan penghuni 30 kediaman terpaksa dipindahkan segera. Polis, pasukan bomba dan penyelamat menerima laporan tentang kejadian di Nant Morlais, United Kingdom (UK) itu pada pagi Ahad. Bercakap kepada BBC Wales, ahli majlis tempatan, David Hughes memaklumkan saluran air yang runtuh berkemungkinan menjadi punca kejadian itu. Lubang benam itu juga dipercayai semakin membesar apabila hujan lebat turun sepanjang malam. Sementara itu, salah seorang penduduk yang terjejas, Stephen Regan, 55, berkata dia terkejut apabila melihat lubang benam berdekatan rumahnya. ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kejadian ‘sinkhole’ di Malaysia, lubang sedalam 1 meter muncul di Kompleks Bunga Raya KLIA "Ia sangat menakutkan, anda boleh dengar bunyi gegaran dan runtuhan ketika ia berlaku. Saya hanya mahu kembali ke rumah, tetapi kami masih tidak tahu apa situasinya sekarang. "Saya takut rumah saya pula akan runtuh nanti," ujar Regan yang baru setahun menetap di kawasan berkenaan. Seorang lagi penduduk memaklumkan dia mendengar aliran air yang sangat laju selepas berlakunya runtuhan itu. Pada masa ini, pihak berkuasa mengarahkan orang ramai agar menjauhi kawasan runtuhan itu. - Agensi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube