suria

Isteri baru habis solat, suami amuk tetak sampai mati... Geram pasangan lari ke rumah mentua tanpa izin

Rasa amarah yang tidak dikawal boleh membawa padah. -Gambar hiasan

TINDAKAN kejam seorang lelaki yang tergamak menetak isterinya sehingga maut membuatkan ramai merinding bulu roma.

Pelaku dikenali sebagai Diki Haryanto, 32, menetak pasangannya sebanyak tujuh kali dengan menggunakan parang dalam kejadian di sekitar Bintang Bayu, Sumatera Utara, Indonesia pada 4 Disember lalu.

Pegawai polis tempatan, Donny berkata mangsa meninggal dunia akibat pendarahan luka di bahagian belakang tubuh, kepala, perut serta pergelangan tangannya yang hampir putus.

Tambah Donny, mangsa pada mulanya melarikan diri ke rumah ibu bapanya selepas mendapat tahu suaminya berlaku curang.

Suspek Diki Haryanto ketika ditahan oleh pihak polis

Suspek Diki Haryanto ketika ditahan oleh polis.

Selepas 15 hari berada di kediaman kedua-dua orang tuanya, suspek datang ke rumah itu untuk meminta berjumpa dengan isterinya, namun si ibu tidak mengizinkan.

Berang permintaannya tidak dituruti, suspek menceroboh masuk ke dalam rumah dan mengambil parang untuk mencari isterinya.

Mangsa yang ketika itu baru habis bersolat di dalam bilik secara mengejut diserang dan ditetak bertubi-tubi oleh suaminya, si ibu yang bergegas cuba menyelamatkan anaknya turut dilibas oleh suspek.

Dikenali sebagai Lisa, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibunya, Suryanti, mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di hospital.

Suspek sedang dibicarakan di mahkamah, sekiranya didapati bersalah akan berdepan hukuman penjara 15 tahun. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain