BEKAS pekerja pembersihan di sebuah hospital yang mengambil 38 bayi terbiar selama sedekad dicalonkan sebagai Model Moral Kebangsaan. Wanita berusia 88 tahun itu yang dikenali sebagai Tang Caiying mengambil anak angkat antara 1980-an hingga 1990-an. Pada musim sejuk 1982, Tang yang ketika itu berusia 46 tahun menemui seorang bayi perempuan yang dibalut dengan kot kapas, ditinggalkan di sebelah landasan kereta api, sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia yang mempunyai lima anak pada waktu itu membawa bayi menangis berkenaan ke rumahnya di Jiangxi, China, dan menamakannya Fangfang. Beberapa tahun kemudian, Tang menemukan seorang lagi bayi perempuan yang ditinggalkan di hospital tempatnya bekerja dan menamakannya Zhenzhen, yang bermaksud hadiah berharga. Sejak itu, dia terus menyelamatkan bayi yang ditinggalkan sehingga jumlahnya mencecah 38 orang. Sebahagian bayi yang diterimanya adalah yang baru lahir, dengan ada yang dibuang ke dalam tong sampah dan juga ada ditinggalkan di luar hospital dia bekerja di Xinyu, di wilayah Jiangxi di tenggara China. Kawasan longgokan sampah antara tempat Tang Caiying menjumpai bayi. Foto Weibo Tang mengaturkan supaya bayi yang diselamatkan itu tinggal di bilik yang tidak digunakan di hospital tempat dia bekerja. Malah, wanita itu meluangkan masa setiap hari untuk memberi makan kepada setiap bayi dan sentiasa memantau kesihatan mereka. Pada mulanya, suami Tang tidak memahami dan berpandangan bahawa pendapatan sederhana mereka hampir tidak mencukupi untuk anak-anak mereka sendiri, apatah lagi anak angkat. Namun, Tang nekad untuk menyelamatkan setiap bayi yang ditemuinya. Selepas bersara, dia menjalani kehidupan dengan pencen kecil dan berusaha keras untuk membeli susu dan makanan untuk anak-anaknya. Dengan jarak umur lebih 50 tahun, anak-anak angkatnya memanggil Tang dengan panggilan nenek. Beberapa anak-anak kecil dijaga oleh suami Tang dan anak-anaknya sendiri di rumah. Lama-kelamaan, suaminya semakin menyayangi semua anak angkat berkenaan. Apabila Tang semakin tua dan tenaganya semakin berkurangan, dia mula berhati-hati memilih keluarga angkat untuk anak-anaknya. Anak angkat terakhir Tang merupakan pasangan kembar lelaki. Dia menamakan anak yang lebih tua sebagai Zhang Jiagang, manakala yang lebih muda dijadikan anak angkat buat pasangan guru. Kisah Tang menjadi perhatian di China dan ada yang menyifatkan nenek ini membuktikan bahawa 'tidak mementingkan diri sendiri dan mengajar masyarakat tentang erti cinta sejati yang sebenar'. -South China Morning Post/ANN Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube