SEBUAH pesawat Jeju Air berpatah balik ke lapangan terbang di Korea Selatan pada Isnin, selepas mengalami isu melibatkan gear pendaratan. Difahamkan, masalah tersebut mirip dengan punca nahas pesawat Jeju Air 7C2216 yang berlaku pada Ahad, sehari sebelumnya. Pesawat Jeju Air bagi penerbangan 7C101 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo, Seoul ke Jeju pada pukul 6.37 pagi. Pesawat itu kemudiannya mengesan isu pada gear pendaratan sejurus selepas berlepas. Syarikat penerbangan tersebut memaklumkan pesawat yang membawa 161 penumpang itu berhubung masalah gear pendaratan, sebelum ia berpatah balik ke Gimpo pada pukul 7.25 pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Jeju Air: 179 penumpang dan anak kapal dikhuatiri maut, dua terselamat Setibanya di lapangan terbang, penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat baharu yang berlepas pada pukul 8.30 pagi. Bagaimanapun, seramai 21 penumpang memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan atas faktor keselamatan. Dalam satu sidang media, Ketua Pejabat Sokongan Pengurusan Jeju Air, Song Kyung-hoon berkata, juruterbang menghubungi pusat kawalan susulan menerima isyarat yang memaklumkan isu pada gear pendaratan. "Selepas beberapa prosedur pemeriksaan yang dilakukan oleh juruterbang, gear pendaratan itu didapati berfungsi secara normal. "Namun kapten juruterbang mengambil keputusan untuk berpatah balik supaya pemeriksaan yang lebih terperinci dapat dilaksanakan," katanya. Pada Ahad, pesawat Jeju Air yang terbabas dari landasan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad, dipercayai berpunca daripada gear pendaratan gagal berfungsi. Nahas itu mengorbankan seramai 179 penumpang dan anak kapal. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube