suria

Nahas Jeju Air: Bapa dedah momen terakhir, tak sangka pemberian kalendar 2025 petanda anak perempuan pergi selamanya

Keluarga mangsa bersedih menghadapi berita nahas pesawat Jeju Air. Foto Reuters

DUNIA digemparkan dengan nahas pesawat dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad, yang mengorbankan 179 penumpang dan anak kapal.

Bapa kepada salah seorang mangsa, Jeon Je-young dikatakan berkali-kali menonton rakaman video nahas pesawat yang tersebar di media sosial.

Video tersebut menunjukkan pesawat malang itu meluncur laju di landasan sebelum merempuh dinding konkrit, menyebabkannya meletup dan terbakar.

Menurut Jeon Je-young, anak perempuannya yang dikenali sebagai Mi-sook merupakan seorang insan yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Jeju Air: 179 penumpang dan anak kapal dikhuatiri maut, dua terselamat

"Saya masih tak mempercayai apa yang berlaku. Mungkin juruterbang hilang kawalan ke atas pesawat dan terpaksa merempuh dinding itu. Anak saya berusia pertengahan 40-an, tak sangka begini pengakhiran hidupnya.

"Mi-sook ada membawa makanan dan kalendar tahun 2025 ke rumah pada 21 Disember lalu. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan dia.

"Ada kalanya Mi-sook akan mengajak saya untuk makan sekali di luar. Sebelum nahas, saya sempat berhubung dengan Mi-sook melalui mesej di telefon pintar, itu kali terakhir saya bercakap dengan dia," ujarnya sebak.

Untuk rekod, pesawat Jeju Air bagi penerbangan 7C2216 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dari Bangkok, Thailand, mengalami masalah pada gear pendaratan ketika mendarat.

Keadaan di lapangan terbang

Sementara itu, keluarga mangsa dilihat meraung dan menangis teresak-esak sehingga terduduk di atas lantai ketika pihak berkuasa di terminal menyebut nama penumpang yang terkorban dalam nahas.

Dalam pada itu, bapa berkenaan turut mempersoalkan kegagalan juruterbang menyelamatkan pesawat itu daripada terhempas.

"Ada tasik berhampiran lapangan terbang ini yang tidak terlalu dalam. Juruterbang sepatutnya cuba mendarat di situ, tanahnya lebih lembut berbanding di landasan yang diperbuat daripada simen," soalnya.

Keadaan yang memilukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan. Foto Reuters

Anak perempuan Jeon berkunjung ke Bangkok bersama rakan-rakannya untuk percutian Krismas.

Menurut Jeon, anaknya itu meninggalkan seorang suami dan anak perempuan yang masih remaja.

"Dia hampir pulang. Jadi (dia nampak) tak perlu menghubungi keluarga (untuk meninggalkan sebarang mesej terakhir). Dia fikir akan pulang," kata Jeon yang bersedih dengan pemergian anak perempuannya.

Seorang anggota bomba dikenali sebagai Yeom Dong-bu berkata, ia merupakan insiden terburuk yang pernah dilihat sepanjang kariernya.

"Saya dulu bekerja dengan kecemasan, pelbagai kemalangan mengerikan saya sudah lihat, tapi bukan seburuk ini (nahas pesawat)," katanya.

Nahas pesawat Jeju Air 7C2216 merupakan insiden paling tragis dalam sejarah industri penerbangan Korea Selatan. -REUTERS

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain