suria

Puluhan terbunuh! Israel lancar serangan udara ke atas Gaza selepas umum gencatan senjata

Bangunan musnah akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. Foto AP

ISRAEL melancarkan siri serangan udara ke atas Bandar Gaza pada Rabu malam (waktu tempatan) mengakibatkan berpuluh-puluh orang terkorban.

Siri serangan itu dilakukan hanya beberapa jam selepas persetujuan gencatan senjatan diumumkan untuk Semenanjung Gaza.

Sumber perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 30 terbunuh dalam serangan itu, yang menyasarkan kediaman dan perjumpaan awam di beberapa kejiranan di Bandar Gaza.

Angka kematian di wilayah itu kini mencecah 82 orang sejak pagi Rabu (waktu tempatan).

Media Palestin melaporkan bahawa dua 'pembunuhan beramai-ramai' berlaku dalam masa kurang satu jam, di Jalan Al-Jalaa dan satu lagi di kawasan kejiranan Sheikh Radwan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gencatan senjata di Gaza dipersetujui, akhiri perang 15 bulan

Menurut wartawan Al Jazeera, 18 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dan yang lain cedera apabila serangan udara menyasarkan sebuah rumah berhampiran Jalan Al-Jalaa di tengah Gaza.

Dalam serangan secara serentak itu, 12 maut dan lain cedera di kawasan kediaman di Sheikh Radwan, di barat laut Bandar Gaza dibom.

Jumlah kematian daripada dua serangan itu melebihi 30 orang, menyaksikan kanak-kanak merupakan antara yang maut dan cedera.

Walaupun pengumuman perjanjian gencatan senjata yang akan berkuat kuasakan pada Ahad depan, serangan udara Israel ke atas Gaza telah meningkat.

Warga Palestin di Gaza dilaporkan mendengar letupan kuat di Bandar Gaza dan utara Gaza, berikutan serangan udara yang berlaku. -Agensi

Artikel Lain