suria

Pesawat penumpang bertembung helikopter tentera, kesemua 67 mangsa terkorban

Tiada mangsa terselamat susulan nahas membabitkan pesawat penumpang American Airlines dengan helikopter tentera Black Hawk.

PIHAK berkuasa mengesahkan kesemua 67 individu terkorban dalam nahas udara membabitkan sebuah pesawat penumpang American Airlines dan helikopter tentera Black Hawk pada malam Rabu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam satu sidang akhbar di Rumah Putih pada Khamis turut mengesahkan bahawa tiada individu terselamat dalam nahas berkenaan.

Sementaran itu Ketua Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Washington D.C., John Donnelly berkata, "Kami kini berada pada tahap di mana sudah bertukar daripada operasi menyelamat kepada operasi pemulihan".

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat penumpang bertembung helikopter tentera, 18 mayat ditemukan

Menurut pihak berkuasa lagi, sekurang-kurangnya 28 mayat telah berjaya dikeluarkan dari perairan Sungai Potomac, lokasi di mana nahas itu berlaku.

Pesawat American Airlines berlepas dari Wichita, Kansas membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, manakala helikopter Black Hawk membawa tiga tentera.

Perlanggaran udara berlaku apabila helikopter Black Hawk kelihatan terbang melintasi laluan ketika pesawat penumpang berkenaan sedang melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Kebangsaan Ronald Reagan.

Ia mencatatkan sejarah sebagai perlanggaran udara terburuk di Amerika Syarikat sejak tahun 2001. -Agensi

Artikel Lain

Ibu mentua AC Mizal meninggal dunia