GARA-GARA bekalan makanan tertumpah di dalam bas, seorang tukang masak diserang dan dibunuh dengan kejam. Dalam kejadian pada malam 1 Februari lalu, mangsa dikenali sebagai Manoj dan rakannya Dinesh, kedua-duanya tukang masak di majlis perkahwinan selesai bekerja di sebuah acara. Mereka membungkus lebihan makanan dan menaiki bas untuk pulang ke rumah. Semasa dalam perjalanan, sebahagian makanan secara tidak sengaja tertumpah di atas tempat duduk, menyebabkan pemandu dan dua rakannya berang. Ketika tiba di Bawan Chok, Dehli di India, Dinesh dibenarkan turun tetapi mangsa dihalang meninggalkan bas. Pemandu dan dua rakannya memaksa mangsa membersihkan makanan yang tertumpah menggunakan baju yang dipakai. Keadaan bertambah buruk apabila mereka mula mendera dan menyerangnya secara fizikal. Salah seorang penyerang dilaporkan menggunakan sebatang kayu hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian sulit mangsa hingga dia terbunuh. Mereka kemudian membuang mayatnya berhampiran jejambat dan melarikan diri dari tempat kejadian. Polis memaklumkan, seorang pejalan kaki menemui mayat mangsa pada 2 Februari dan menghubungi pihak berkuasa. Bedah siasat pada 5 Februari mendedahkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan dalaman dan kesan kecederaan teruk pada bahagian alat sulit. Seorang suspek berusia 24 tahun sudah ditahan, manakala pemandu bas dan seorang lagi rakannya masih dalam buruan polis.-Agensi