suria

Tragedi lauk kenduri! 135 penduduk keracunan makanan, dikejarkan ke hospital

Pesakit dirawat selepas mengalami keracunan makanan. -Gambar hiasan/ Bernama

SERAMAI 135 penduduk mengalami keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis pernikahan.

Mangsa mengalami simptom demam, pening, menggigil dan cirit-birit, beberapa jam selepas majlis dan terutamanya pada waktu malam.

Kejadian berlaku di Dusun Krasakan, Lumbungrejo, Tempel, Sleman di Yogyakarta, Indonesia, pada Sabtu lalu.

Ketua Pusat Kesihatan Tempel, Dr Diana Kusumawati berkata, kejadian itu disyaki mempunyai kaitan dengan pengambilan aiskrim dan krecek yang dihidangkan pada majlis itu.

Menurutnya, sampel makanan sudah diambil untuk ujian makmal bagi menentukan punca sebenar keracunan.

Akad nikah bermula pukul 8 pagi, diikuti resepsi dari 10 pagi hingga 1 tengah hari. Namun, segelintir tetamu mula mengadu gejala keracunan sejak pukul 7 malam.

"Kebanyakan pesakit mengalami loya, muntah, cirit-birit, demam, dan lemah. Kami mengesyaki puncanya datang daripada makanan yang diambil, terutamanya ais krim dan krecek, yang kami sedang melakukan uji lebih lanjut," kata Dr Diana.

Tambah Dr Diana, mangsa yang mengalami keracunan dikejarkan ke hospital dan pusat kesihatan untuk menerima rawatan.

"Jumlah mangsa seramai 135 orang. Enam daripadanya dimasukkan ke hospital, tiga orang di bawah pemerhatian dan 109 lagi merupakan pesakit luar. Beberapa mangsa yang keadaannya masih lemah masih dipantau dan dirawat di pusat kesihatan sebelum dibenarkan pulang.

"Kami masih menunggu keputusan makmal untuk menentukan punca kejadian. Sementara itu, mereka yang mengalami simptom ringan dinasihatkan supaya minum banyak air, rehat secukupnya, dan makan makanan lembut yang mudah dihadam," katanya.

Sehubungan itu, Dr Diana menekankan mengenai kepentingan kebersihan dalam menghidangkan makanan terutama di majlis besar.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam menyediakan makanan dan memastikan ia dihidangkan dengan selamat untuk dimakan," jelasnya.

-Agensi

Artikel Lain