suria

Arab Saudi larang bawa kanak-kanak tunai haji

Setiap kali tibanya musim haji, jemaah dari seluruh dunia berkumpul untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu. -Gambar hiasan

MENJELANG musim haji yang akan bermula Jun 2025, Arab Saudi memperkenalkan beberapa perubahan dan peraturan baru untuk menguruskan isu kesesakan yang semakin meruncing.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan bahawa jemaah haji tidak dibenarkan membawa kanak-kanak ke Tanah Suci pada tahun ini.

Langkah ini diambil sebagai usaha untuk memastikan keselamatan kanak-kanak daripada terdedah risiko ekoran kesesakan yang melampau setiap kali musim haji.

Kementerian tersebut juga menambah, keutamaan akan diberikan kepada jemaah haji kali pertama pada tahun ini.

Selain itu, Arab Saudi turut melaksanakan peraturan visa yang lebih ketat.

Menurut laporan, negara tersebut melarang penggunaan Visa Kunjungan Beberapa Kali Perjalanan (Multiple Entry Visa) satu tahun untuk tujuan pelancongan, perniagaan, dan perjalanan keluarga dari negara-negara terpilih.

Peraturan baharu ini memberi kesan kepada jemaah dari negara-negara seperti Jordan, Maghribi, Nigeria, Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Pakistan, Sudan, Tunisia, dan Yaman.

Bermula 1 Februari 2025, jemaah dari negara yang berkenaan hanya layak menerima visa kemasukan tunggal yang sah selama 30 hari.

Artikel Lain