LIMA pelajar di sebuah kolej ditahan pada Rabu atas dakwaan membuli sekumpulan penuntut baharu.
Enam mangsa bukan sahaja dibogelkan, malah alat sulit mereka turut diikat dengan alat senaman dumbel.
Kelima-lima pelajar yang ditahan berusia antara 18 dan 22 tahun.
Kejadian buli itu dilaporkan berlaku di sebuah kolej kejururawatan di Kottayam, Kerala di India.
Dalam laporan yang dibuat, mangsa-mangsa mendakwa mereka turut diugut dengan pisau.
Kesemua mangsa yang juga pelajar tahun satu itu mendakwa mula dibuli sejak November lalu.
Susulan laporan yang dibuat, penyiasat merampas beberapa rakaman telefon bimbit untuk pengesahan, kata seorang pegawai.
"Mangsa mendekati jawatankuasa anti buli yang menyiasat aduan itu sebelum melaporkannya kepada kami.
"Kami sudah merekodkan kenyataan daripada beberapa mangsa," kata sub-inspektor Pradeep Lal V dari balai polis Gandhinagar.
Lima suspek kini direman dalam tahanan kehakiman dan dihantar ke penjara daerah.
Kelima-lima mereka didakwa di bawah seksyen BNS kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya atau cara yang memudaratkan, pemerasan dan ugutan jenayah serta seksyen 3 dan 4 Akta Larangan Ragging Kerala 1998. -Agensi.