suria

Pembantu rumah usia 13 tahun dituduh curi coklat, majikan belasah guna kayu penggiling sampai mati

Hanya kerana coklat seorang kanak-kanak dibunuh majikan dengan penggiling doh. - Gambar hiasan

SEORANG pembantu rumah kanak-kanak maut selepas dibelasah teruk dengan kayu penggiling doh oleh majikannya pada Selasa.

Kanak-kanak itu yang baru berusia 13 tahun dan dikenali sebagai Iqra dituduh mencuri coklat majikannya sebelum dia dipukul.

Dia disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.

Kejadian berlaku di Rawalpindi, Pakistan.

Polis berkata, majikannya iaitu sepasang suami isteri, Rashid Shafiq dan isterinya, Sana didakwa atas tuduhan membunuh dan ditahan reman selama empat hari bagi soal siasat.

"Mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki, buku lali, tangan, kepala. Semua ini berlaku akibat coklat yang hilang," katanya.

Isu buruh kanak-kanak termasuk yang bekerja sebagai pembantu rumah masih berleluasa di Pakistan.

Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dari 2022, satu daripada setiap empat isi rumah di sana menggaji seorang kanak-kanak yang kebanyakannya perempuan berumur 10 hingga 14 tahun.

Menggaji individu di bawah umur 15 tahun menyalahi undang-undang tetapi ia tetap menjadi amalan biasa, dengan ibu bapa yang miskin sering menghantar anak perempuan mereka untuk bekerja.

Bapa Iqra, Sana Ullah, yang tinggal di perkampungan luar bandar Punjab, memaklumkan anak perempuannya telah bekerja dengan pasangan itu sejak 22 bulan lalu dengan bayaran 8,000 rupee (RM456) sebulan.

“Binatang itu menyeksa anak perempuan saya dengan cara yang tidak dilakukan oleh manusia,” katanya. -Agensi

Artikel Lain