suria

Jururawat 2 kali ‘makan’ penampar, halang kanak-kanak lawat nenek di wad

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki menampar jururawat.

SEORANG lelaki menampar muka seorang jururawat sebanyak dua kali selepas tidak membenarkan anak perempuannya masuk ke unit rawatan rapi (ICU) untuk melawat neneknya.

Nenek kanak-kanak terbabit diserang influenza A dan jururawat melarangnya masuk kerana berisiko dijangkiti.

Insiden wanita itu ditampar berlaku pada jam 6.30 petang Ahad lalu dan dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Kejadian berlaku di Hospital Rayong di daerah Muang, Thailand.

Video rakaman itu turut dikongsi Naib Menteri Kesihatan Awam, Thanakrit Jitareerat di Facebook.

Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai kemeja-T berwarna oren dan berseluar pendek bercakap dengan jururawat, sebelum menamparnya dua kali.

Hospital dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pihaknya telah memfailkan aduan dengan polis Muang Rayong dan akan mendakwa lelaki itu.

Polis berkata lelaki itu datang ke balai dan mengaku menyerang jururawat itu.

"Dia mendakwa jururawat itu menggunakan bahasa kesat ketika bercakap dengannya. 

"Dia dan keluarganya bimbang tentang keadaan ibunya dan menjadi marah apabila anak perempuannya tidak dibenarkan masuk," kata polis.

Pihak hospital akan memberikan bantuan dan pampasan yang sewajarnya kepada jururawat yang ditampar.-Agensi

Artikel Lain