suria

Cikgu ikat murid malas belajar di pokok, pukul dengan kayu

Hukuman melampau boleh mendatangkan trauma. -Gambar hiasan

SEORANG murid tahun dua diikat pada pokok oleh guru lelakinya kerana dianggap malas di dalam kelas.

Malah, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu juga dipukul dengan kayu dan diugut bunuh jika menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

Akibat hukuman tersebut, murid itu mengalami kecederaan di seluruh badan.

Ketika pulang ke rumah, kanak-kanak itu menceritakan kejadian berkenaan sebelum laporan dibuat oleh ibu bapanya di balai polis Ghiraur di India pada Rabu lepas.

"Satu kes di bawah seksyen 115-2 iaitu secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada orang lain telah didaftarkan dalam perkara itu.

"Kanak-kanak itu juga telah dihantar untuk pemeriksaan kesihatan," kata polis.

Guru besar sekolah berkenaan, Sukhbir Singh berkata, dia tiada di sekolah ketika kejadian dan akan meneliti perkara itu sebelum tindakan diambil.

Bapa murid, Rupesh Kumar, pula berkata anaknya berada dalam ketakutan dan enggan ke sekolah.-Agensi

Artikel Lain