SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun maut dalam keadaan tragis apabila dia lemas selepas tangannya tersangkut dalam lubang saluran air di sebuah kolam renang.
Kejadian berlaku pada Ahad, di sebuah kolam renang di Pameungpeuk, Garut, Jawa Barat.
Menurut Ketua Polis Garut, Iptu Aep Saprudin, mangsa pada mulanya bermain gelongsor air sebelum tergelincir ke dalam bahagian kolam yang berkedalaman satu meter.
Ujarnya, berdasarkan kenyataan saksi, mangsa tidak muncul semula di permukaan air menyebabkan beberapa pengunjung mencarinya sebelum mendapati tangan mangsa tersangkut dalam lubang saluran air yang tidak berpenutup.
“Usaha menyelamatkan mangsa sudah dilakukan, namun mangsa sukar diselamatkan kerana tangannya tersangkut," jelasnya.
Mayat mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dari kolam renang selepas keluarganya menghubungi pihak bomba. -Agensi