POLIS menemukan mayat seorang wanita yang dibunuh oleh suaminya kira-kira 12 tahun lalu.
Wanita yang merupakan ibu kepada tiga anak itu dilaporkan hilang.
Mangsa yang dikenali sebagai Rania berusia 25 tahun ketika dibunuh oleh suaminya di sebuah flat, pada Julai 2013.
Kejadian berlaku di Gorton, Salford di United Kingdom.
Suami mangsa didapati bersalah atas pembunuhannya dan dipenjara seumur hidup pada 2014, meskipun beberapa pencarian dilakukan oleh polis, mayat Rania tidak pernah ditemui.
Bagaimanapun, Polis Greater Manchester menemukan mayat yang dikebumikan di Thirsk, North Yorkshire, selepas menerima maklumat baharu mengenai keberadaannya.
Walaupun pengenalan rasmi belum dilakukan, pihak polis mengesyaki bahawa mayat itu adalah milik Rania, lapor Manchester Evening News.
Susulan penemuan itu, Ketua Penyiasat, Inspektor Neil Higginson berkata, lebih sedekad selepas pembunuhannya, pihaknya percaya menemukan mayat Rania dan akhirnya dapat memberi penyelesaian kepada keluarganya.
"Kami tahu keluarganya menanggung begitu banyak kesakitan dan kesedihan selama ini.
"Pembunuhannya adalah sangat mengerikan dan tidak mengetahui di mana mayatnya berada menyebabkan kesakitan lebih kepada semua yang mengenalinya," katanya. -Agensi