SEORANG pekerja penghantaran (rider) meluahkan rasa kecewa apabila staf di sebuah stesen minyak tidak mahu menerima wang syiling ketika dia mahu membayar bagi mengisi minyak motosikal.
Pekerja penghantaran yang dikenali sebagai Bob, 28, mendakwa ketika kejadian, dia mahu mengisi petrol dan membayar 130 baht (RM16.89) sepenuhnya menggunakan syiling.
Namun, salah seorang staf di stesen minyak yang terletak di Phuket, Thailand itu menolak untuk menerima syiling tersebut dan memberi alasan enggan mengiranya.
Tidak berpuas hati, Bob bertanya kepada juruwang sama ada ia adalah polisi di stesen minyak berkenaan.
Bagaimanapun juruwang berkenaan memberitahu bahawa staf tersebut sering menimbulkan masalah yang sama kepada pelanggan lain.
Bob yang sering menerima bayaran dalam bentuk syiling daripada pelanggan ketika menghantar barang menambah, dia tidak pernah menghadapi masalah seperti itu di stesen minyak lain.
Tegasnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab stesen minyak untuk melatih pekerjanya dengan lebih baik dalam menghadapi apa jua situasi.
Kisah Bob yang dikongsikan di sebuah laman Facebook mengundang reaksi bercampur daripada netizen dengan rata-rata daripadanya melontarkan kecaman terhadap staf stesen minyak berkenaan. -Agensi