suria

Tampar penumpang kereta api demi kejar ‘views’, YouTuber akhirnya terima padah!

Aksi seorang YouTuber menampar penumpang kereta api mengundang kemarahan ramai. -Foto X

TINDAKAN seorang lelaki yang menampar penumpang di dalam sebuah kereta api demi meraih jumlah tontonan di media sosial, akhirnya mengundang padah.

Lelaki tersebut yang juga seorang YouTuber dikenali sebagai Ritesh Kumar, dilihat berdiri di platform dan menunggu sehingga kereta api bergerak sebelum mendekati seorang penumpang dan menamparnya.

Video aksi Ritesh di sebuah stesen kereta api di Bihar, India dirakam oleh rakannya untuk dimuat naik di media sosial.

Ia menjadi tular sekali gus mengundang kemarahan ramai yang  mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Ritesh. 

Pasukan Pengawal Kereta Api (RPF) bertindak pantas dan menahan Ritesh serta mengarahkannya untuk memohon maaf secara terbuka.

"Tiada kompromi dalam keselamatan penumpang!! Seorang YouTuber yang menampar penumpang di atas kereta api yang bergerak demi populariti di media sosial telah dikesan dan ditahan oleh RPF," tulis pasukan tersebut dalam satu hantaran di X.

Dalam video permohonan maafnya, Ritesh mengakui dia sengaja melakukan aksi tersebut demi menambah jumah tontonan dan pengikut. -Agensi

Artikel Lain