suria

Israel terima cadangan AS untuk gencatan senjata di Gaza sepanjang Ramadan

Rakyat Palestin menunaikan solat tarawih berjemaah sempena bulan Ramadan, berhampiran runtuhan bangunan di Rafah, di selatan Jalur Gaza, Sabtu. Foto REUTERS/Hatem Khaled

ISRAEL menerima cadangan daripada utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump iaitu Steve Witkoff, untuk melanjutkan gencatan senjata sementara di Gaza sepanjang bulan Ramadan dan perayaan Paskah.

Pejabat Perdana Menteri Israel pada Ahad berkata demikian beberapa jam selepas fasa pertama gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini tamat pada Sabtu.

Pada hari pertama cadangan Witkoff, separuh daripada tebusan yang dipegang di Gaza, sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia, akan dibebaskan, kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ia menambah bahawa baki tebusan juga akan dibebaskan selepas gencatan senjata kekal dipersetujui.

Witkoff membuat cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata semasa setelah menyedari bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk perbincangan mengenai gencatan senjata kekal, tambah pejabat Netanyahu.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, sebelum itu pada Sabtu mengatakan bahawa kumpulan itu menolak "formulasi" Israel untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata di Gaza, tetapi tidak menyebut secara eksplisit rancangan Witkoff.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet Israel setuju lulus gencatan senjata, bebaskan tahanan

ARTIKEL BERKAITAN: Sejauh mana keyakinan terhadap gencatan senjata di Gaza? Ini jawab Donald Trump

Pejabat Netanyahu memberitahu, Israel akan segera menjalankan perbincangan mengenai rancangan Witkoff jika Hamas bersetuju dengannya.

"Menurut perjanjian, Israel boleh kembali berperang selepas hari ke-42 jika ia merasakan bahawa perbincangan tidak berkesan," kata pejabat Netanyahu, sambil menuduh Hamas melanggar perjanjian tersebut.

Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian itu.

Dua pegawai Palestin yang biasa dengan rundingan memberitahu Reuters bahawa Israel menolak untuk memasuki fasa kedua perjanjian atau memulakan perbincangan mengenainya.

Sebaliknya, Israel meminta lanjutan fasa pertama, dengan syarat penyerahan sejumlah tawanan yang masih hidup dan mayat untuk setiap minggu lanjutan.

Namun, Hamas menolak dan berkeras untuk mematuhi perjanjian, memasuki fasa kedua, dan mewajibkan Israel untuk apa yang telah dipersetujui. -Agensi

Artikel Lain