suria

Rumah terbakar, ibu hamil nekad redah api marak... Terkorban ketika cuba selamatkan dua anak

Kebakaran itu memusnahkan empat bangunan dan meragut nyawa.

SEORANG wanita hamil dan dua anaknya terkorban dalam tragedi kebakaran melibatkan rumah mereka pada Khamis.

Mangsa, Syamsiah Muhamad, seorang ibu berusia 33 tahun meredah api marak itu demi menyelamatkan dua anak lelakinya. 

Bagaimanapun tiga beranak itu terkorban dalam kejadian menyayat hati di Bungawaru, Nusa Tenggara Timur di Indonesia. 

Kebakaran tersebut turut memusnahkan empat bangunan, termasuk rumah keluarga Syamsiah yang dijadikan sebagai kiosk perniagaan.

Ketika kebakaran, Syamsiah yang sedang hamil berada di dalam rumah bersama dua anaknya, Muhammad Fahaat, empat tahun dan Muhammad Fahmi yang berusia dua tahun.

Manakala suaminya, Istiar Harun, 37, sedang menjaga kiosk di hadapan rumah.

Menurut saksi kejadian, Syamsiah sebenarnya sempat keluar dan berjaya menyelamatkan diri. 

Namun, dia tidak sanggup meninggalkan anak-anaknya yang masih nyenyak tidur membuatkan dia kembali ke dalam rumah sedangkan api semakin marak.

Malangnya, mereka bertiga terperangkap dan tidak berjaya diselamatkan.

Suaminya, Istiar, cuba untuk masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan isteri dan anak-anaknya, namun api yang marak menghalang usahanya. 

Mayat ketiga-tiga beranak tersebut dihantar ke hospital sebelum dikebumikan oleh pihak keluarga pada pukul 6 petang (waktu tempatan).

Ketua Polis Daerah Alor, Ajun Komisaris Besar Polis (AKBP) Supriadi Rahman, memaklumkan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. -Agensi

Artikel Lain