SEORANG guru ganti ditahan atas tuduhan mendera kanak-kanak selepas didakwa mengarahkan murid-murid sekolah rendah memukul rakan sekelas mereka.
Memetik laporan New York Post, Geanene White, 57, didakwa menggalakkan empat murid secara bergilir-gilir menumbuk dan menendang seorang pelajar dalam kejadian Februari lalu.
Lebih mengejutkan, guru yang mengajar di YMCA Tiger Academy, Florida, Amerika Syarikat itu sendiri menolak mangsa sehingga terhantuk pada meja.
Dia kemudian bertindak menarik mangsa di lantai dengan memegang kolar bajunya.
Tindakannya dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila mangsa enggan mengikut arahan untuk berpecah dalam kumpulan kecil bagi menyelesaikan tugasan sekolah.
“Siapa di sini boleh pukul dia (mangsa)?” katanya kepada kelas, menurut laporan siasatan polis.
Empat murid kemudiannya tampil ‘sukarela’ sebelum White membiarkan mereka memukul mangsa di dalam kelas.
White kemudian melaporkan murid tersebut kepada pihak sekolah dengan mendakwa dia memerlukan ‘bantuan tingkah laku’.
Bagaimanapun, beberapa murid termasuk salah seorang yang terlibat mengesahkan guru itu yang mencetuskan insiden berkenaan.
Mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dengan kesan luka dan lebam yang disahkan oleh polis Jacksonville.
White kini berdepan tuduhan mendera kanak-kanak dan empat pertuduhan lain berkaitan menggalakkan jenayah dalam kalangan pelajar.
YMCA Tiger Academy dan Duval County Public Schools menegaskan bahawa guru berkenaan telah menjalani proses tapisan sebelum diambil bekerja. -NDTV