suria

Tersilap ‘sasaran’, wanita maut ditikam 18 kali oleh bekas suami kakak

Suspek berjaya ditahan dan mengaku tersalah sangka mangsa sebagai bekas isterinya. -Foto Thaiger

SEORANG lelaki tersilap sasaran apabila menikam bekas adik iparnya sehingga maut kerana menyangka wanita berkenaan adalah bekas isterinya.

Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Khamis (6 Mac) itu, mangsa yang dikenali sebagai Waraporn, 39, meninggal dunia kerana cedera parah akibat mengalami 18 luka tikaman pada leher dan tubuh.

Mangsa sempat dikejarkan ke hospital oleh orang awam namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.

Kakak mangsa, Jureeporn, 40, memaklumkan kepada polis bahawa dia mengesyaki bekas suaminya, Boonma, sebagai suspek kes bunuh tersebut.

Polis akhirnya berjaya memberkas suspek di jalan luar bandar di daerah Bang Ban, wilayah Ayutthaya, Thailand.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui dia berniat membunuh bekas isterinya kerana cemburu selepas terlihat gambar wanita berkenaan bersama kekasih baru di media sosial.

Suspek yang merupakan bekas banduan dan baharu dibebaskan dari penjara kira-kira empat bulan lalu mahu 'merujuk' kembali dengan bekas isterinya namun ditolak wanita berkenaan. 

Berang dengan tindakan bekas isterinya, suspek merancang untuk membunuh wanita itu ketika dia keluar bekerja pada awal pagi.

Pada hari kejadian, suspek yang sudah menunggu mangsa bertindak menyerang dan menikamnya menggunakan gunting kerana benar-benar menyangka mangsa adalah bekas isterinya. 

Akibat jenayah tersebut, suspek berdepan hukuman maksimum mengikut Seksyen 289(4) Kanun Jenayah kerana melakukan pembunuhan terancang, yang membawa hukuman mati. -Agensi

Artikel Lain