TIGA individu dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan melibatkan hidangkan pencuci mulut berasaskan coklat yang dihidangkan di hospital.
Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) dan Agensi Piawaian Makanan (FSA), dua lagi mangsa sedang menerima rawatan.
Berdasarkan siasatan, pegawai kesihatan berkata listeria monocytogenes dilaporkan sebagai punca kematian mangsa.
Lima kes keracunan ini berlaku di beberapa hospital awam di United Kingdom (UK) antara Mei hingga Disember 2024.
Dua kes dikenal pasti di hospital di Yorkshire dan Humber, serta masing-masing satu di North West, West Midlands dan Wales.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi lauk kenduri! 135 penduduk keracunan makanan, dikejarkan ke hospital
Pegawai mengesyaki mousse dan ais krim yang dihasilkan oleh syarikat Cool Delight Desserts sebagai punca wabak bakteria yang menyebabkan cirit-birit ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, FSA mengarahkan penarikan semula pencuci mulut seperti ais krim, gulungan krim ais, mousse dan yogurt yang dibekalkan syarikat itu kepada hospital dan rumah penjagaan.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa kesihatan berkata: “Semua produk ini mesti ditarik balik daripada perkhidmatan dan digantung sementara siasatan dijalankan.”
Listeria ialah sejenis bakteria yang boleh mencemari pelbagai jenis makanan dan menyebabkan listeriosis.
Ia biasanya sembuh dengan sendiri, tetapi boleh menyebabkan keadaan serius bagi sesetengah individu.
Gejalanya termasuk suhu badan tinggi, sakit otot, menggigil, muntah, rasa mual dan cirit-birit. -Agensi