SEORANG gadis terpaksa diusung oleh penduduk setempat sejauh kira-kira dua kilometer ke hospital untuk mendapatkan rawatan, gara-gara jalan di kampung mereka rosak teruk sehingga tidak dapat diakses oleh kenderaan.
Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Parman, gadis berusia 20 tahun bernama Karmila itu mengalami bengkak pada lehernya sehingga menyukarkan pergerakan.
Menurutnya, gadis tersebut yang turut mempunyai pertalian dengan keluarganya perlu segera dibawa ke hospital kerana keadaan kesihatan yang semakin membimbangkan.
Difahamkan video dia dan beberapa penduduk yang sedang mengusung Karmila dengan kayu panjang yang digantung kain dirakam pada minggu lalu ketika mereka dalam perjalanan ke Hospital Daerah Massenrempulu Enrekang, Sulawesi Selatan, kira-kira dua kilometer dari kampung mereka di Pinrang.
Video berkenaan mengundang reaksi warga maya yang menyifatkan perkara tersebut perlu ditangani segera oleh pihak pemerintah kerana melibatkan kesihatan serta nyawa penduduk. -Agensi