PERCUTIAN ke taman tema bertukar tragedi apabila seorang wanita didakwa mengelar leher anak lelakinya berusia 11 tahun menggunakan pisau dapur dalam kejadian di bilik hotel.
Wanita berusia 48 tahun itu berdepan pertuduhan membunuh dan satu lagi jenayah kerana meggunakan senjata sehingga mengakibatkan kematian.
Insiden tragis itu berlaku pada di sebuah hotel di Santa Ana, Amerika Syarikat pada 19 Mac lalu.
Terkejut dengan kes tersebut, Peguam Daerah Orange County, Todd Spitzer berkata: "Tempat yang paling selamat bagi seorang kanak-kanak sepatutnya berada dalam pelukan ibu bapa mereka.
"Daripada memeluk anak lelakinya dengan penuh kasih sayang, dia mengelar lehernya. Dan dia juga yang mengakhiri nyawa anak yang dilahirkannya."
Wanita itu yang kini tinggal di luar California, telah berpisah dengan bapa kepada anaknya dan membawa anak lelaki itu bercuti ke sebuah taman tema sebagai sebahagian daripada lawatan hak penjagaan selama tiga hari.
Peguam Daerah Spitzer menyebut kemungkinan berlaku konflik antara ibu bapa tersebut yang mungkin mendorong kepada punca kematian anak lelaki itu.
Menurut polis, wanita itu ditahan atas tuduhan membunuh dan dimasukkan ke hospital akibat memakan bahan yang tidak diketahui.
Setelah dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis, dia didakwa dan dihadapkan di mahkamah di Orange County.
Jika didapati bersalah atas semua tuduhan, pendakwa raya menyatakan bahawa tertuduh bakal berdepan hukuman maksimum antara 26 tahun hingga seumur hidup di penjara. -Agensi