suria

Wanita terkejut pengunjung kafe tinggalkan nota atas meja... Bukan nak mengurat, rupanya teguran halus

Nota yang ditinggalkan seorang pelanggan kafe di atas meja Sujata. -Foto X/Indiatoday

SEORANG wanita mendapat kejutan yang tidak dijangka ketika berada di sebuah kafe bagi menghadiri mesyuarat secara dalam talian (online), baru-baru ini.

Berkongsi perkara tersebut di laman X, Sujata Yadav dari Bengaluru, India berkata, ketika itu dia sedang menghadiri mesyuarat menerusi platform Zoom sambil menikmati kopi di kafe berkenaan, apabila seorang pengunjung meninggalkan nota yang ditulis pada sehelai tisu.

"Anda boleh didengari dengan jelas di sini," demikian mesej pada nota tersebut.

Sujata turut memuat naik gambar nota berkenaan dalam perkongsiannya.   

"Saya bekerja di sebuah kafe baru-baru ini dan sedang membuat panggilan Zoom apabila seseorang datang dan meletakkan tisu di atas meja saya. Ia bukan nombor telefon. Ini aduan bising. Penuh rendah diri," tulis Sujata.

Perkongsian Sujata mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial mengenai etika bekerja di tempat awam, terutamanya di kafe. 

Ramai yang berpendapat bahawa kafe bukanlah ruang yang sesuai untuk bekerja kerana suara mereka boleh mengganggu pelanggan lain yang sedang bersantai atau mahu menikmati masa bersendirian sambil menghirup kopi. 

"Orang jenis apa sebenarnya yang duduk di kafe untuk bekerja?" 

"Kafe bukan pejabat peribadi anda. Orang yang datang untuk minum kopi tidak seharusnya dipaksa mendengar mesyuarat Zoom anda," demikian antara komen netizen. -Agensi

Artikel Lain