SEORANG wanita parah selepas ditikam dengan senjata tajam, dipercayai sabit oleh bekas suaminya gara-gara bertengkar mengenai baju raya anak mereka.
Kejadian yang berlaku pada Jumaat (28 Mac) petang itu bermula apabila suspek yang berusia 47 tahun datang ke rumah bekas isterinya untuk membelikan baju raya buat anak mereka.
"Suspek mahu belikan baju sempena menyambut hari raya untuk anak mereka tetapi mangsa menolaknya. Malah mangsa mengusir suspek dan kemudian terjadi pertengkaran," cerita salah seorang ahli keluarga mangsa.
Berang dengan tindakan bekas isterinya itu, suspek mengambil sabit di dapur dan melibas senjata tersebut menyebabkan mangsa mengalami luka pada kepala dan tangan.
Sementara itu kakak ipar mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut turut tercedera.
Kejadian dilaporkan berlaku di Ngebel, Ponorogo, Jawa Timur.
Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Harjono dan berada dalam keadaan stabil.
Suspek bertindak menyerah diri di balai polis berhampiran dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut. -Agensi