SEPASANG suami isteri warga emas maut dipercayai akibat membunuh diri selepas menjadi mangsa scam sehingga mengalami kerugian sebanyak Rs 50 lakh (RM299,172).
Menurut polis, mangsa yang dikenali sebagai Diyango Najarat, 83, ditemukan mati akibat kelaran di lehernya, manakala isterinya, Playviana Najarat, 79, dilaporkan menelan racun.
Pasangan yang berasal dari Belagavi, Karnataka, India itu dipercayai mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat mereka selepas diancam oleh scammer yang menyamar sebagai pegawai kerajaan.
Difahamkan, scammer tersebut menghubungi pasangan berkenaan melalui panggilan video, menuduh mereka terlibat dalam satu kes jenayah dan menuntut Rs 5 lakh (sekitar RM29,000) sebagai bayaran penyelesaian.
Pasangan tersebut, yang kedua-duanya merupakan pesara, telah membayar jumlah yang diminta namun mereka berterusan diganggu dan diugut sehingga mengalami kerugian lebih RM299,000.
Lebih menyedihkan, pasangan tersebut tidak mempunyai anak mahupun keluarga terdekat yang boleh dihubungi, dan mereka tidak memberitahu sesiapa mengenai ugutan yang mereka alami.
Pihak polis pada awalnya mengesyaki pasangan berkenaan dibunuh namun menemui nota bunuh diri yang ditinggalkan, menjelaskan sebab di sebalik tindakan nekad berkenaan.
Pemeriksaan rekod telefon bimbit pasangan tersebut juga mengesahkan kejadian tersebut sebagai bunuh diri akibat peras ugut penjenayah. -Agensi