SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh dan menyumbat mayat isterinya ke dalam sebuah bagasi.
Kejadian dilaporkan berlaku di Bengaluru, India.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Bahagian 1 Bengaluru Selatan, Sara Fatima, suspek yang dikenali sebagai Rakesh Rajendra Khedekar pada awalnya melarikan diri selepas melakukan jenayah itu pada 26 Mac.
Dia bagaimanapun tiba-tiba menghubungi jirannya dan mengaku telah membunuh isterinya yang dikenali sebagai Gouri Anil Sambre.
Susulan itu, jirannya memaklumkan tentang pengakuan berkenaan kepada pemilik bangunan yang seterusnya bertindak membuat laporan polis.
Tambah polis, pihaknya bergegas ke rumah selepas menerima laporan dan mendapati mangsa ditemukan maut di dalam rumah dengan kecederaan parah di leher serta perut.
Mayat mangsa disumbat ke dalam bagasi pakaian dan diletakkan di bilik mandi.
"Rakesh dan Gouri telah berkahwin selama dua tahun, dan kedua-duanya berasal dari Maharashtra.
"Mereka telah berpindah ke Bengaluru bulan lalu untuk bekerja. Rakesh bekerja sebagai Pengurus Projek IT, manakala Gouri adalah seorang suri rumah dan sedang mencari pekerjaan," katanya.
Menurut Sara, mayat mangsa dihantar untuk proses bedah siasat manakala motif pembunuhan itu masih tidak diketahui.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan tinggal di tingkat tiga bangunan berkenaan selepas berpindah pada Februari.
Rakesh bekerja sebagai pengurus projek di sebuah firma swasta yang terkenal, sementara Gouri adalah seorang suri rumah. - Wion News