TANPA menghiraukan keadaan jalan raya yang sibuk, seorang lelaki bertindak menyerang kekasih baharu bekas teman wanitanya dengan menggunakan pisau panjang.
Video pergaduhan tersebut kini tular di media sosial, memperlihatkan dua lelaki sedang bergelut di tepi jalan raya dengan seorang wanita dilihat cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Bang Khun Thian, Bangkok pada Rabu.
Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak demikian kerana kecewa bekas teman wanita keluar dengan kekasih baharu, kurang sebulan selepas mereka berpisah.
Polis yang mendapat panggilan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada jari dan belakang badan.
Dia dikejarkan ke Hospital Taksin untuk menerima rawatan, lapor KhaoSod.
Wanita yang berada di tempat kejadian menyatakan bahawa penyerang adalah bekas teman lelakinya.
Di sebalik kekecohan insiden berkenaan, polis mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan atau aduan dan sedang menunggu pihak mangsa tampil sebelum mengambil tindakan susulan. -Agensi