SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengalami kecederaan pada kaki kanan gara-gara tertembak dirinya dengan pistol pen (pun gun) yang ditemui di bilik bapa tirinya.
Ketika kejadian pada Selasa, kanak-kanak tersebut bersama beberapa rakannya sedang bermain di rumahnya yang terletak di wilayah Samut Prakan, Bangkok.
Sepupu mangsa yang berusia 16 tahun segera menghubungi polis selepas terdengar bunyi tembakan dan tangisan mangsa.
Pasukan penyelamat yang turut tiba di tempat kejadian memberikan pertolongan cemas sebelum menghantar mangsa ke hospital berdekatan.
Difahamkan, pistol pen itu adalah milik rakan kepada bapa tiri mangsa.
Susulan kejadian itu, polis merampas sepucuk pistol pen .38 serta peluru.
Polis juga akan menjalankan soal siasat menyeluruh terhadap mangsa dan ahli keluarga lain untuk mengenal pasti pemilik sebenar pistol berkenaan. -Agensi