SEORANG wanita yang mengabaikan dan mendera anak perempuannya sehingga membawa kepada kematian dijatuhi hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Foo Li Ping, 29, sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan penderaan kanak-kanak, menyebabkan kematian tanpa niat serta pelupusan mayat secara sengaja bagi menghalang siasatan.
Hakim Hoo Sheau Peng menyifatkan perbuatan Foo dan teman lelakinya, Wong Shi Xiang, 38, sebagai tindakan sadis yang merampas maruah mangsa.
Sepanjang lebih satu tahun, mangsa, Megan Khung, berusia empat tahun didera secara fizikal dan emosi.
Mangsa dipukul dengan rotan dan ditampar serta tidak diberikan makanan serta pakaian.
Malah, mangsa dipaksa tidur di balkoni unit kondominium yang disewa pasangan itu di Paya Lebar, Singapura.
Mangsa turut dipaksa memakai lampin kotor di kepalanya, makan sisa makanan dari tong sampah serta menelan hingus ibunya sendiri.
Semua perbuatan kejam pasangan itu terhadap mangsa dirakam dalam video.
Penderaan itu akhirnya membawa kepada kematian Megan pada 21 Februari 2020 apabila kekasih ibu menumbuk perut kanak-kanak itu dengan kuat.
Pada 8 Mei 2020, pasangan itu membakar mayat Megan dalam tong logam yang dibuat khas setelah melakukan kajian tentang cara melupuskan mayat.
Abu mangsa dipercayai dibuang ke laut di East Coast Park (Taman Pantai Timur) dan tidak pernah ditemukan lagi.
Segalanya terbongkar apabila bapa kandung Megan, Khung Wei Nan, 37, membuat laporan polis pada 20 Julai 2020 kerana bimbang mengenai keberadaan dan keselamatan anaknya.
Khung menyatakan bahawa kali terakhir dia melihat Megan adalah pada Februari 2017 sebelum dia menjalani hukuman tiga tahun di pusat pemulihan dadah.
Susulan laporan yang dibuatnya, ketiga-tiga suspek telah ditangkap pada 24 Julai 2020.
Wong dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan atas kesalahan membunuh tanpa niat, melupuskan mayat secara sengaja serta kesalahan berkaitan dadah.
Seorang rakan pasangan itu, Nouvelle Chua Ruoshi, 35, yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah bersama mereka, turut didakwa berhubung kes ini dan masih menunggu perbicaraan di mahkamah. -The Star