SEORANG wanita berusia 24 tahun ditahan kerana terlibat dalam pengedaran dadah jenis methamphetamine.
Wanita mengaku melakukan perbuatan itu disebabkan kekangan kewangan selain mengumpul wang untuk berkahwin.
Difahamkan, bakal suaminya berusia 34 tahun itu juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Dalam serbuan itu pada Jumaat lalu, polis menemukan satu beg plastik mengandungi 2.86 gram kristal methamphetamine yang disimpan di dalam almari di sebuah bilik.
Penahanan tersebut dibuat di bandar Lampung di Sumatera, Indonesia.
Ketua Polis Bandar Lampung, Pesuruhjaya Senior Alfret Jacob Tilukay berkata, kes tersebut melibatkan dua suspek, iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lagi merupakan teman lelaki berusia 34 tahun yang kini masih dalam buruan.
"Ketika ini teman lelakinya sedang diburu polis. Dia disyaki pemilik kristal methamphetamine dan dalang kepada pengedaran barang terlarang ini,” katanya, pada Ahad.
Tertuduh berdepan dengan pendakwaan, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan. -Agensi