SEORANG lelaki berusia 53 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika sedang melanggan perkhidmatan seorang pekerja seks komersial.
Menurut polis, kejadian berlaku pada Ahad malam (6 April) ketika lelaki berkenaan mengunjungi premis yang terletak di Pasar Baru Ngopak, Pasuruan untuk melanggan perkhidmatan berkenaan.
Ketua Perhubungan Awam Polis Kota Pasuruan, Aipda Muhammad Junaidi berkata, semasa sedang melakukan hubungan seks, mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas.
Melihat keadaan berkenaan, pekerja seks tersebut meminta mangsa duduk di atas katil kerana mula menunjukkan tanda-tanda tidak normal dengan air liur meleleh.
Pekerja wanita tersebut keluar untuk memaklumkan pemilik premis yang kemudian bertindak menghubungi polis dan pasukan perubatan.
Ujar Muhammad Junaidi, ketika pasukan perubatan tiba, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dan mengalami sawan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.
"Menurut kenyataan saksi, mangsa ada membeli dan mengambil sejenis ubat perangsang seksual sebelum melanggan perkhidmatan," ujarnya.
Tambah Muhammad Junaidi, keluarga mangsa menolak untuk melakukan bedah siasat, dan mayat telah diserahkan kepada mereka. -Agensi