suria

Ngeri! Api marak, lebuh raya serta merta dilitupi asap tebal selepas lori tangki terbalik

Api marak dengan cepat mengakibatkan kesesakan lalu lintas. -Foto Jam Press

SEBUAH lori tangki yang membawa muatan etanol terbalik sebelum terbakar dalam satu kemalangan ngeri.

Kejadian di lebuh raya itu serta merta menyebabkan kebakaran besar sehingga memusnahkan 25 kenderaan lain. 

Menurut laporan, kebakaran berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum merempuh penghadang jalan dan terbalik, dalam kejadian pada Ahad.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular menunjukkan treler itu terus terbakar selepas terbalik dan etanol yang tumpah mengalir dengan cepat di atas jalan.

Tumpahan bahan mudah terbakar itu menyebabkan kebakaran besar dengan api merebak dengan cepat ke kenderaan lain, mengakibatkan 22 buah kereta dan tiga lori hangus.

Insiden berlaku di jalan BR-101 di negeri Santa Catarina, Brazil.

Menerusi video yang tular, dapat dilihat asap tebal dan api marak memenuhi kawasan lebuh raya, menyebabkan trafik terhenti sepenuhnya dan suasana menjadi kelam-kabut.

Menurut pihak berkuasa, lima individu termasuk pemandu lori dan isterinya mengalami kecederaan melecur sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Pasukan bomba dari beberapa bandar dikerahkan ke lokasi dan lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah bagi tujuan keselamatan dan kerja pembersihan.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap.

Artikel Lain