suria

Berang tak dipedulikan kekasih, lelaki seret anjing guna motosikal sejauh 600 meter

Tangkap layar video seorang lelaki menyeret seekor anjing menunggang motosikalnya. Foto Channel 3

TINDAKAN seorang lelaki menunggang motosikal sambil menyeret seekor anjing yang diikat di belakang kenderaan itu mengundang kecaman netizen.

Susulan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian pada Selasa (8 April), pelaku dikenal pasti sebagai lelaki berusia 35 tahun.

Hasil siasatan mendapati pelaku bertindak kejam terhadap haiwan berkenaan kerana berang tidak mendapat perhatian daripada kekasihnya.

Seorang wanita yang merupakan saksi kejadian berkongsi mengenai insiden tersebut di laman sosial Facebook miliknya.

Video berdurasi 28 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan mengikat seekor anjing pada motosikal yang ditungganginya sebelum menyeret haiwan itu sejauh 600 meter.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Saksi wanita berusia 44 tahun yang hanya dikenali sebagai Ice bertindak bersemuka dengan si pelaku atas perbuatan kejamnya dan menyelamatkan anjing malang itu.

Pelaku yang dikenali sebagai Pannawit dihadapkan ke mahkamah wilayah Sikhio dan mengaku salah atas tuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan.

Mahkamah kemudian memutuskan Pannawit didenda sebanyak 10,000 baht (RM1,306).

Sebagai peringatan, melakukan keganasan dan kekejaman terhadap haiwan adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Agensi

Artikel Lain