SEORANG pemuda berusia 22 tahun ditahan polis kerana didakwa menikam kenalan wanitanya, gara-gara mangsa meminta bayaran selepas melakukan hubungan seks.
Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad di sebuah hotel Pantai Panjang, Bengkulu, Sumatera, mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bengkulu, AKP Sujud Alif Yulam Lam, suspek yang merupakan seorang pemandu pelancong berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi MiChat sebelum bersetuju untuk menginap bersama di sebuah hotel serta melakukan hubungan seks.
Namun kejadian bertukar tragis apabila mangsa meminta bayaran selepas melakukan hubungan intim, menyebabkan suspek berang.
"Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan telah membawa senjata tajam ketika kejadian.
"Dia bertindak menikam mangsa secara bertubi-tubi sehingga menyebabkan kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk tapak tangan, bahu, dada, lengan, pipi serta jari mangsa," jelas Sujud.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Polis berjaya mengesan dan menahan suspek selain merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Kes kini sedang disiasat pihak polis. -Agensi