Kotak TV yang dijangkiti perisian berbahaya boleh disalahgunakan tanpa pengetahuan pemilik. -Gambar hiasan AI
LEBIH 1.3 juta peranti kotak TV dikesan dijangkiti perisian berbahaya (malware) sehingga membolehkannya disalahgunakan untuk kegiatan jenayah siber tanpa pengetahuan pemilik.Google turut mendedahkan peranti berkenaan dijadikan sebahagian daripada botnet XCPE, iaitu rangkaian peranti yang boleh dikawal dari jauh. Menurut laporan The Verge, Google mengaitkan operasi itu dengan rakan pengeluar peranti Androidnya, Videostrong Technology Co. yang berpangkalan di Shenzhen, China. Difahamkan, syarikat berkenaan didakwa sengaja memasukkan akses rahsia atau ‘backdoor’ ke dalam peranti bagi menjana keuntungan.Lebih membimbangkan, Google turut menyatakan akses tersebut dijual kepada pihak yang bertindak memasang perisian berbahaya tambahan untuk melakukan penipuan iklan serta menyalurkan trafik internet melalui sambungan pengguna tanpa kebenaran.Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan perisian berkenaan ditemukan dalam pelbagai model dan jenama peranti yang dihasilkan sepanjang beberapa tahun ini.Walaupun kebanyakannya melibatkan kotak Android TV, peranti lain termasuk mesin karaoke, peralatan telekesihatan dan papan tanda digital turut terjejas.Susulan penemuan itu, Google memutuskan hubungan dengan Videostrong serta melarang syarikat berkenaan menghasilkan atau menjual peranti Android yang diperakui Google.Bagi memperkasakan gerakan yang dilakukan, Google bersama rakan industrinya turut melumpuhkan infrastruktur yang digunakan untuk mengawal rangkaian tersebut.Tindakan terhadap pelayan kawalan perisian berbahaya berkaitan juga dijangka memutuskan akses penjenayah kepada sekurang-kurangnya 10 juta lagi peranti yang telah diceroboh menerusi saluran lain.Dalam masa sama, Google menambah baik proses pemeriksaan keselamatannya selepas mendapati teknik penyamaran digunakan untuk memuatkan kod berbahaya selepas peranti dihidupkan buat kali pertama. -Agensi