suria

Kaligrafi Kufi Medan Dakwah Cufica

Kamarulazhan Abdullah dan rakan baiknya Kamarulakhbar memulakan perniagaan Cufica sejak 2012.

MENJEJAKKAN kaki ke galeri Cufica bagaikan menggamit aura Islamik tersendiri yang menawan. Daripada segi rekaan nyata kaligrafi yang dihasilkan syarikat yang dimiliki dua rakan baik, Kamarul Akhbar Che Ismail dan Kamarulazhan Abdullah yang berasal dari Terengganu ini mempunyai identiti penuh unik.

Memulakan perniagaan kaligrafi kufi di Damansara Utama sejak 2012, kini Cufica yang turut menyertai medan beli-belah dalam talian, Souq boleh berbangga kerana produk mereka sudah terjual ke beberapa negara seperti Jerman, London, Australia, Indonesia, Arab Saudi. 



KC

Kamarulakhbar (KJ) belajar seni kaligrafi kufi daripada Youtube. -Foto ROHAIZAT MD. DARUS/THESTAR.

Bukan itu sahaja, mereka juga sudah mempunyai 'reseller' di beberapa negara Eropah bagi memenuhi permintaan daripada luar negara yang semakin bertambah pada setiap bulan. 

Menceritakan detik awal dua sahabat ini menceburi perniagaan kaligrafi kufi,  Kamarulazhan atau lebih mesra dengan panggilan KC berkata, semuanya bermula daripada minat untuk mendalami Islam. 

KJ dan KC banyak meluangkan masa berbincang mengenai setiap rekaan kaligrafi kufi yang mereka hasilkan.


"Selepas mendirikan rumah tangga, saya mendapat hadiah kahwin berbentuk kaligrafi Islam daripada keluarga. Di situlah bermulanya minat untuk mendalami ilmu kaligrafi kufi. 

"Belajar melukis kufi pun melalui Youtube dan mengambil inspirasi daripada rekaan pelukis terkenal di barat Vincent Van Gogh dan Andy Warhoal. Bagi menghasilkan sentuhan yang lebih istimewa, kami turut menyelitkan elemen timur tengah," katanya kepada mStar Online di Galeri Cufica baru-baru ini. 

Justeru, bagi KC dan Kamarul Akhbar lebih mesra disapa KJ berkata biarpun mereka tidak mempunyai asas dalam bidang kaligrafi, cabaran mempelajari seni khat kufi memberi semangat untuk mereka lebih berjaya. 

"Saya sendiri dulu masa belajar, ambil bidang pemasaran, KC pulak belajar kejuruteraan sivil. Namun disebabkan minat dalam bidang rekaan ini kami manfaatkannya dalam bidang kaligrafi kufi. Kami juga merujuk kepada pakar kaligrafi tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan nasihat. 

"Disamping itu juga, kami merujuk kepada bahagian penerbitan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan bimbingan daripada mereka," katanya. 

Antara rekaan kalifgrafi kufi yang dihasilkan oleh Cufica. 


Selain itu, rekaan yang dihasilkan Cufica mempunyai identiti tersendiri kerana mereka menumpukan kepada nilai eksklusif mengikut permintaan pengguna.  

"Pasukan kami terdiri daripada lima orang. Setiap karya yang Cufica hasilkan biasanya eksklusif dan mempunyai 'signature brand' yang tersendiri. 

"Kami menerima antara 500 hingga 1,000 tempahan setiap bulan bergantung kepada musim. Selalunya waktu kemuncak pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji dan musim kenduri kahwin," katanya. 

Karya yang dihasilkan Cufica banyak bermain dengan elemen warna dan rekaan dengan keunikan yang tersendiri.


Wajah disebalik tabir mereka yang menghasilkan rekaan kufi di Cufica. 

"Kami suka memainkan elemen warna dalam rekaan kufi yang dihasilkan. Ini memberikan keunikan tersendiri dalam setiap rekaan kami. Harga yang kami tawarkan juga mampu dimiliki bermula serendah RM50 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz, warna dan medium kaligrafi kufi yang dihasilkan. 

"Kaedah pemasaran kami banyak tertumpu kepada bazar di sekitar Lembah Klang dan perniagaan online. Ternyata bazar menjadi lubuk perniagaan yang menguntungkan bagi kami kerana di sana orang ramai mula mengenali tentang keunikan kaligrafi Islam ini. 

"Ini juga satu medan dakwah kami secara tidak langsung, terutamanya kepada masyarakat bukan Islam apabila mereka mula membelinya sebagai hiasan untuk dilekatkan di dinding rumah," kata KC. 

Selain daripada kaligrafi kufi, Cufica turut menghasilkan produk lain seperti papan ukiran yang diperbuat daripada akrilik. 

Bercerita lanju, dua anak muda ini cukup optimis, mereka ingin menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang. 

"Cufica bukan sekadar menghasilkan lukisan kaligrafi di atas kanvas semata-mata, kami turut menghasilkan kemeja T, perabot dan dekorasi rumah, 'fridge magnet'. 

"Pada masa sama, kami turut mengadakan pameran di luar negara seperti Indonesia, Myanmar, Sri Lanka. Pasaran di luar semakin berkembang, dan hampir setiap bulan, ada permintaan untuk jadi 'reseller' di Jerman," katanya. 

Menurut KC, apa yang diharapkan ialah Cufica dapat menjadi produk Islam yang mempunyai identiti tersendiri setanding dengan produk barat seperti  Coca-Cola. 

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kufi yang dihasilkan Cufica, anda boleh melayari, souq.mstar.com.my, www.cufica.co, atau instagram, facebook fanpage dan twitter cufica. 


Cufica, kaligrafi kufi

Artikel Lain