PADA 28 dan 29 Disember lalu, penulis menyertai misi bantuan yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Institut Onn Ja'afar (IOJ) bagi membantu mangsa banjir di negeri yang paling teruk dilanda banjir iaitu Kelantan. Peluang kali kedua menaiki pesawat C130, milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup mengujakan penulis dan sukarelawan OIJ yang rata-ratanya kali pertama menaiki pesawat berkenaan. Sebaik tiba di Pengkalan Chepa, kami terus di bawa ke Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja. Di sini kami melihat sendiri bagaimana anggota tentera mengerah kudrat masing-masing untuk mengangkat barangan bantuan mangsa banjir daripada lori dan mengumpulkannya di lapangan pendaratan helikopter dan pesawat TUDM yang lain. Antara barangan yang akan diberikan kepada mangsa banjir. Itulah tugasan yang dilakukan oleh anggota ATM tersebut hampir setiap hari dalam usaha mereka menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan jalan darat seperti di Guchil, Tanah Merah, Kuala Krai dan Manik Urai. Bukan itu sahaja, mereka turut menghulurkan bantuan ke kawasan kampung pedalaman orang asli di sekitar Kelantan. Antara barangan yang diberikan kepada mangsa banjir ialah bantuan makanan, air mineral, tuala wanita, lampin kanak-kanak, lilin dan kit mandian. Penulis bersama sukarelawan IOJ yang lain. Dua lokasi pertama yang kami tujui ialah Kampung Pintu Geng 12 kilometer dari Pengkalan Chepa, ia merupakan kawasan paling terjejas akibat banjir gelombang kedua yang melanda Kelantan. Kami bergerak dengan menaiki lori tiga tan bersama-sama dengan kira-kira enam anggota tentera termasuk pegawai urusetia perhubungan awam, Mejar Khairuddin Ismail dari Kementerian Pertahanan. Agak mengejutkan apabila paras air telah naik hingga ke paras pinggang, semakin jauh kami masuk ke kampung berkenaan, paras air naik lebih tinggi. Sebaik sahaja tiba di persimpangan menuju ke kampung Pintu Geng, sukarelawan kami dipindahkan ke dalam bot untuk menuju ke pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Pintu Geng. Kami diberikan jaket keselamatan untuk dipakai. Disini saya benar-benar tersentuh melihat kerja-kerja yang dilakukan oleh anggota tentera kita. Mereka memandu bot, kemudian turun daripada bot dan mereka menolaknya dengan selamat sehingga kami dipindahkan menuju ke penempatan sementara. Saya juga melihat bagaimana anggota tentera berada dalam air banjir yang mencecah hingga ke paras dada untuk memastikan semua sukerelawan kami selamat dipindahkan ke dalam lori. Ini adalah rutin harian mereka untuk memindahkan mangsa dan bantuan dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Saya terfikir mungkin inilah tugas mereka setiap hari apabila tiba musim air pasang pada setiap tahun. Ketika berada dalam bot, saya sempat berbual dengan salah seorang anggota tentera yang turut bersama kami. Berikut adalah antara perbualan kami: CHARLES : Kamu orang sini ke (Kelantan) ANGGOTA TENTERA : Ya, saya asal dari Pasir Mas, tempat saya pun banjir teruk. CHARLES : Jadi awak tak balik... ANGGOTA TENTERA : Kalau nak balik, boleh diuruskan lagi pun ATM benarkan, tapi ada ahli keluarga yang lain tolong kat rumah itu. Jadi saya tolong kat sini. Kalau kita bantu di sini, ada anggota lain yang bantu keluarga kita di sana, insyaAllah. Mendengar jawapan anggota tentera yang berusia dalam lingkungan awal 20-an itu membuatkan saya berasa tersentak seketika kerana dia sanggup berkorban hingga meletakkan kepentingan keluarga ditangga kedua demi melaksanakan tugasnya untuk berbakti kepada negara. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan selama 15 minit dan tiba di pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Pintu Geng. Terdapat kira-kira 1,800 mangsa ditempatkan di sini, daripada orang tua, muda, lelaki, wanita, kanak-kanak malah bayi juga mendapatkan perlindungan di sini. Justeru, kehadiran kami cukup mengujakan mereka dan bantuan yang dihulurkan disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan ucapan terima kasih. Di sini, kami mengedarkan roti yang disumbangkan oleh Hotel The Royal Chulan Damasara. Kami edarkan roti manis berinti kismis yang dipek khas bersama–sama dengan wakil hotel Dang Suria Zainurdin yang merupakan sukarelawan IOJ. Hati saya sangat tersentuh dan gembira melihat anak-anak kecil menjamah roti yang kami bawa. Kami turut mengedarkan air mineral untuk keperluan mangsa banjir di sini. Selain menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, kami sempat juga bertanya khabar mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan. Rata-rata mereka berharap agar air banjir segera surut supaya mereka dapat segera pulang ke rumah masing-masing. Sebaik sahaja misi pada hari pertama selesai, kami pulang ke Wisma Perwira Markas Lapan Bridget di Pengkalan Chepa. Di sinilah lokasi sukarelawan IOJ berehat dan melelapkan mata selama beberapa jam sebelum menyambung misi seterusnya pada kesokan hari. Pada hari kedua, sukarelawan IOJ meneruskan misi bantuan dengan melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1. Terdapat kira-kira 3,000 mangsa banjir ditempatkan di sini, bantuan yang diperlukan sangat kritikal kerana bilangan mangsa yang terlalu ramai berada di pusat pemindahan ini. Para sukarelawan mengangkat pelbagai barangan yang di bawa dengan kerjasama anggota tentera. Kami turut mengatur barangan tersebut sebelum diserahkan kepada wakil yang menguruskan pusat pemindahan mangsa banjir di kawasan berkenaan. Lawatan dan penyerahan sumbangan IOJ berlaku serentak dengan kehadiran penaung Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn yang juga merupakan Menteri Pertahanan. Beliau tiba dengan menaiki lori 3 tan milik ATM. Hishammuddin turut meluangkan masa mendengar pengalaman dan keluhan mangsa banjir. Beliau juga sempat bertemu dengan pelatih PLKN yang berada di pusat ini untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Bukan itu sahaja, beliau turut menghargai bantuan dan peranan pasukan sukarelawan IOJ membantu mangsa banjir dan berharap usaha seperti itu dapat diteruskan selepas ini kerana mangsa banjir memerlukan bantuan yang segera. Tempoh selama 48 jam berada di Pengkalan Chepa, nyata pengalaman yang tidak dapat dilupakan daripada diari kehidupan sukarelawan IOJ yang menyertai misi membantu mangsa banjir di Kelantan. Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Ja'afar, Charles Mohan.