suria

Menyingkap Rahsia Destinasi 'Tersorok' Taiwan

Persembahan kebudayaan di Taman Kebudayaan Formosa.

KALAU tidak banyak, sedikit rasa terkejut pasti ada apabila menjejakkan kaki di bumi Taiwan! Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Mengenali Taiwan memberi pengalaman berbeza, menerbitkan rasa cinta yang tak disangka-sangka.

Pabila hati sudah terpaut, tidak hairanlah penerbangan pergi dan balik ke Taiwan yang memakan masa kira-kira empat jam sehala dengan pesawat AirAsia X ini langsung tidak dirasa sia-sia, lebih-lebih lagi atas jemputan syarikat penerbangan tambang murah terkemuka rantau ini.

Menawarkan penerbangan setiap hari, pesawat Airbus AisAsia X akan mendarat dan berlepas di Lapangan di Lapangan Terbang Taoyuan, yang terletak lebih kurang 40 kilometer di barat Taipei.

Di kalangan pelancong, Taipei yang merupakan bandar terbesar dan paling sibuk di Taiwan sememangnya menjadi destinasi paling popular dan digemari untuk dilawati. Ia terletak di bahagian utara Taiwan.

Kebiasaannya, sebaik tiba di Taipei, perkara pertama dan paling utama dilakukan pelancong tentunya melawat menara Taipei 101 yang mempunyai lif terpantas di dunia. Ia membawa anda dengan pantas dari tingkat 5 ke tingkat 89 di mana terletaknya balai cerap dalam masa hanya 39 saat. 

Menara 101 Taipei menjadi kebanggaan rakyat Taiwan.

Tempat-tempat lain yang boleh dilawati di Taipei termasuklah Zoo Taipei, National Palace Museum yang juga salah sebuah muzium terbaik dunia yang terletak di kaki gunung, bangunan National Theater dan National Concert Hall yang pernah menjadi permata seni bina Taipei sebelum wujudnya Taipei 101. 

Namun, apa kata Taipei ditinggalkan seketika! Ini kerana, selain Taipei, ramai yang tidak tahu bahawa banyak lagi tempat menarik di Taiwan yang boleh diteroka.

Jika tidak, masakan negara yang dikenali sebagai Permata Asia ini diberi gelaran 'Rahsia Terulung Yang Terselindung di Asia' oleh National Geographic Traveler.


Lima Yang Istimewa

Terbahagi kepada lima bahagian iaitu Taiwan utara, tengah, timur, selatan dan kepulauan luar pesisir, Kaohsiung, bandar kedua terbesar di Taiwan yang terletak di selatan juga tidak harus dilupa jika terlanjur sampai di negara yang turut diberi nama Formosa (Pulau Cantik) ini.

Jika di Taipei pengunjung tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman menaiki lif terpantas di dunia, di Kaohsiung pula mereka harus menikmati pelayaran romantis menaiki bot di Love River sambil melihat pemandangan indah bandar metropolis ini.


Pemandangan bandaraya metropolis Kaohsiung dari dalam bot.

Andai punya pilihan, pengunjung dinasihatkan menelusuri 'sungai cinta' itu pada waktu malam kerana semestinya panoramanya lebih menakjubkan dengan neon yang berkerlipan di tebing sungai, di pelabuhan kecil, jambatan dan bot-bot yang membawa penumpang.

Jika bernasib baik dan cuaca mengizinkan, dapatlah pengunjung melihat pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan dari atas bot, sebelum meneruskan pelayaran melihat keindahan Kaohsiung pada waktu malam.


Pemandangan di Love River sementara menunggu matahari terbenam.

Namun, harus diingatkan bahawa di sini, mataharinya terbenam lebih awal berbanding Malaysia, kira-kira pukul 5.30 petang walaupun tiada perbezaan masa. 

Asyik menikmati pelayaran, jangan sampai terlupa untuk singgah sebentar di stesen metro Formosa Boulevard yang menampilkan Dome of Light, binaan kubah kaca yang terbesar di dunia.


Dome of Light terletak di stesen metro Formosa Boulevard, Kaohsiung.

Selain itu, di Kaohsiung juga anda boleh melawat sebahagian daripada kubu yang dibina oleh Belanda ketika menjajah Taiwan pada kurun ke-17. Ia terletak di daerah Anping, di mana di daerah ini juga terdapat Anping Tree House, sebuah gudang tinggalan yang ditumbuhi pokok-pokok di dalamnya.

Sebahagian daripada kubu peninggalan penjajah yang terletak di daerah Anping.

Bagi anak muda yang datang berkumpulan atau yang datang bersama keluarga, tidak lengkap kunjungan ke Kaohsiung jika tidak berkunjung ke Taman Tema E-Da, iaitu taman tema terbesar di Taiwan.

Jika merancang untuk ke sini, eloklah kiranya masa sehari diperuntukkan atau bermalam sahaja memandangkan ia turut menawarkan hotel dan outlet beli-belah, selain menjadi pusat pendidikan dan penempatan golongan elit.

Sebelum meninggalkan Kaohsiung, tidak sah jika anda tidak melawat Perkampungan Budaya 10 Drum, sebuah kawasan yang pernah menjadi kilang gula, tetapi dibangunkan secara kreatif dengan menggabungkan ciri-ciri sejarah, hiburan, kesenian dan kebudayaan, menjadikannya sebuah destinasi pelancongan unik dan mempunyai nilai sentimental.

Lokasi ini juga menjadi pangkalan bagi kumpulan 10 Drum Art Percussion yang popular di seluruh dunia berlatih dan membuat persembahan kombinasi moden dan tradisi, melayakkan mereka memenangi banyak anugerah di peringkat dunia.


Pihak media yang mengikuti rombongan bergambar kenangan bersama ahli kumpulan 10 Drum Art Percussion yang terkenal di seluruh dunia.

Pesona Tasik Sun Moon

Di bahagian tengah Taiwan, apa yang boleh anda lakukan adalah mengunjungi Tasik Sun Moon, di Nantou, sebuah tasik air tawar yang sangat luas dan indah, penuh dengan mitos dan sejarah tersendiri.

Disebabkan faktor muka buminya yang unik, kawasan pergunungan ini sering menjadi lokasi untuk acara-acara besar termasuklah acara bertaraf antarabangsa iaitu Festival Berbasikal Taiwan yang menyaksikan kehadiran ramai peserta dari seluruh pelosok dunia.



Pada waktu itu jugalah ramai rakyat Taiwan yang terkenal dengan aktiviti riadah dan bersantai akan keluar berbasikal bersama rakan, ahli keluarga atau berkumpulan di kawasan yang tidak tercemar dek pembangunan ini.



Di kawasan tasik itu juga, terdapat kereta kabel Lake Ropeway yang akan membawa pengunjungnya menuruni gunung curam untuk sampai ke Kampung Budaya Orang Asli Formosa yang menampilkan ciri kebudayaan, kesenian dan sejarah puak orang Asli yang ditonjolkan dalam bentuk pameran dan persembahan.

Indahnya pemandangan kawasan pergunungan dari dalam Kampung Budaya Orang Asli Formosa.

Puas mempelajari sedikit-sebanyak tentang sejarah dan budaya puak orang Asli di Taiwan, anda bolehlah menghilangkan penat seketika. Anda boleh bermain di taman tema, membeli-belah dan seterusnya menikmati pemandangan indah di Taman Eropah di lokasi yang sama.



Pasar Jadi 'Syurga', Hiburan Malam

Uniknya negara ini apabila pasar-pasar malam bagai 'syurga' dan hiburan malam, bukan sahaja untuk pelancong, malah ia umpama 'gaya hidup' yang sebati dengan penduduk tempatan.

Di Taipei sahaja, walaupun terdapat banyak pasar malam yang menjadi sebut-sebutan, Pasar Malam Shilin merupakan pasar malam nombor satu dan paling besar selain Pasar Malam Jalan Raohe dan Pasar Malam Jalan Huaxi.

Tidak kira pasar malam mana yang menjadi pilihan, ia menawarkan pelbagai barangan menarik seperti kasut, beg tangan, barang keperluan rumah, aksesori, permainan dan sebagainya. Malah, lokasi ini turut menjadi lokasi paling sesuai untuk membeli cenderamata.

Di sini, tawar-menawar amatlah digalakkan bagi membolehkan pelancong berbelanja sakan, seterusnya pulang dengan senyuman.

Bagi golongan muda, tempat yang paling sesuai dikunjungi semestinya pusat beli-belah dan bazar-bazar fesyen yang terletak di daerah Ximending. Kawasan yang lebih moden dan komersil ini juga dibuka sepanjang hari, tidak terhad kepada waktu malam sahaja.

Di situ nanti, pengunjung yang gemar berfesyen bukan sahaja dapat membeli pakaian atau aksesori mengikut perkembangan semasa dengan harga berpatutan, tetapi juga dapat mencuci mata, melihat kumpulan remaja atau dewasa bergaya dengan fesyen jalanan yang cukup menarik.

Di Kaohsiung juga tak terkecuali. Jika berminat, anda bolehlah berkunjung ke Pasar Malam Liohe atau kawasan beli-belah New Juejiang.

Kemeriahan di Pasar Malam Liohe.

Tidak terhad kepada jualan barang, harus dinyatakan bahawa pasar-pasar malam di Taiwan juga bagaikan syurga makanan untuk pelancong bukan Muslim dan penduduk tempatan.

Namun, ia bukanlah alasan bagi pelancong Muslim untuk hanya terperuk di bilik hotel kerana masih terdapat beberapa gerai atau restoran yang menawarkan makanan halal.

Bagi pelancong Muslim, terdapat beberapa restoran yang dicadangkan seperti Warung Sate Muslim di Kaohsiung), Tai-Yi Eco Leisure Farm (Nantou), Mayur Indian Kitchen (Taipei), Restoran Xinjiang Cuisine  (Kaohsiung) dan Chungkuo Beef Restaurant (Taipei).

(Penulis mengikuti trip media bersama Biro Pelancongan Taiwan dan AirAsia X)

Artikel Berikut

Artikel Lain