suria

Perancangan Masa Depan

’INI musim untuk bergembira – asalkan mampu mengukur baju pada badan sendiri. Ketika galak menyambut musim perayaan ini, orang ramai membanjiri pusat beli-belah untuk berbelanja, tetapi pakar-pakar menggesa rakyat Malaysia, terutama generasi muda, supaya mengawal nafsu dan hanya berbelanja mengikut kemampuan mereka.

Tidak kiralah sama ada ketika dibanjiri pelbagai tawaran jualan murah atau pada waktu biasa, rakyat Malaysia perlu mencari keseimbangan antara kos sara hidup yang meningkat dan menabung untuk masa depan mereka dalam pada berdepan keadaan gaji yang tidak mungkin meningkat.

Jika faktor ini berterusan, lebih ramai antara mereka dijangka hidup di luar kemampuan dan bergelumang masalah hutang lebih tinggi dalam jangka masa terdekat, ramal Ketua Jabatan Pengurusan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqis Yusoff.

Beliau berkata, walaupun keadaan ini bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Malaysia, hakikatnya pengguna negara ini terpaksa berbelanja lebih bagi mendapatkan barangan kegunaan biasa akibat inflasi berbanding masa lalu.

“Kemewahan pada masa lalu kini menjadi keperluan, seperti mempunyai kereta dan telefon bimbit,” katanya.

Tambahan pula, secara purata rakyat Malaysia membayar lima kali setengah ganda lebih daripada gaji tahunan mereka untuk membeli hartanah berbanding dengan rakyat negara lain yang hanya membayar lebih tiga kali ganda.

Balqais berkata, jika mahukan masa depan yang terjamin dari segi kewangan pada usia tua kita, rakyat Malaysia, terutamanya Gen Y, mesti belajar bagaimana membezakan antara keperluan dan kehendak, selain harus mampu meletakkan keutamaan dalam membelanjakan wang mereka.

Sesetengah Gen Y juga kelihatan boros dengan dengan satu kajian baru-baru ini menunjukkkan 40% daripada mereka berbelanja lebih daripada kemampuan mereka. Kira-kira 70% daripada Gen Y yang memiliki kad kredit pula hanya membuat bayaran bulanan minimum diperlukan yang perlu dibayar pada satu-satu masa, menurut kajian itu dikeluarkan bulan lalu oleh Institut Kewangan Asia itu.

Kajian terhadap 1,000 profesional muda Malaysia berusia antara 20 dan 33 tahun itu, turut menunjukkan bahawa hanya 55% golongan Gen Y membayar hutang tepat pada masanya –bermakna hampir separuh daripada Gen Y yang terbabit dalam tinjauan itu, menangguhkan pembayaran hutang.

Satu kajian berasingan pada 2010 mendapati bahawa 70% daripada pekerja Malaysia berusia antara 18 dan 35 tahun mengakui mereka hanya mampu meneruskan kelangsungan hidup sehingga empat bulan jika terpaksa berhenti kerja.

Daripada 70% itu, kira-kira 15% tidak mengamalkan tabiat menabung, menurut “Kajian Mengenai Tingkah Laku Kewangan dan Tabiat Kewangan Pekerja Muda” berkenaan.

Tinjauan itu turut menunjukkan bahawa 37% daripada 1,002 responden tidak pernah memikirkan mengenai persaraan mereka.

Sambil menekankan bahawa orang ramai sepatutnya didedahkan dengan pendidikan kewangan, Balqais menegaskan tabiat menabung juga bergantung kepada disiplin pengguna.

“Tiada siapa yang boleh menghalang kamu daripada membeli apa yang kamu mahukan. Akhirnya, semuanya bergantung kepada kamu,” tegasnya.

Balqais Yusoff

Memandangkan jangka hidup rakyat Malaysia kini lebih lama, dia menekankan betapa pentingnya semua orang membuat simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

“Untuk mereka mengekalkan gaya hidup sedia ada ketika persaraan, mereka mesti mempunyai 60% hingga 70% daripada gaji terakhir diterima mereka untuk berbelanja setiap bulan," katanya.

Bagaimanapun, rekod KWSP menunjukkan, hanya 33% ahli aktif mempunyai simpanan asas yang diperlukan, iaitu simpanan minimum RM820 sebulan selama 20 tahun, yang akan berjumlah  RM196,800 pada hari tua mereka.

“Polisi kami membolehkan ahli menggunakan sebahagian daripada simpanan KWSP untuk bayaran rumah dan pendidikan, seterusnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka panjang.

“Contohnya, menggunakan simpanan KWSP untuk membayar ansuran pinjaman rumah, bererti kamu mempunyai tempat berteduh apabila bersara nanti,” katanya.

Walaupun pengguna perlu menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk Paul Selvaraj menambah bahawa kerajaan juga perlu memainkan peranan.

Beliau menggesa kerajaan melaksanakan dasar-dasar bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan kos sara hidup yang meningkat: "Tanpa dasar yang betul, ekosistem tidak akan bertambah baik," katanya.

Paul Selvaraj

Sambil memetik beberapa contoh, Selvaraj berkata, kerajaan perlu memastikan bahawa kos perkhidmatan dan barangan seperti pengangkutan awam, perumahan serta penjagaan kesihatan perlu kekal berpatutan.

Katanya, keadaan akan semakin bertambah sukar, dan itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia, seolah-olah tidak serius untuk menabung dan memikirkan mengenai persaraan mereka.

“Dengan peningkatan kos sara hidup, berlaku lebih banyak tekanan kepada pengguna. Semakin sukar keadaan yang dihadapi sekarang, sepatutnya semakin pengguna rasa terdesak merancang untuk masa depan,” kata Selvaraj.

Bagaimanapun, katanya, realitinya adalah rakyat dibelenggu kebimbangan untuk mengira belanja sehari ke sehari, dan ini boleh menghalang mereka menabung sewajarnya.

“Kira-kira 20% daripada gaji pekerja digunakan untuk membayar petrol dan pengangkutan awam. Jika pekerja mempunyai pinjaman perumahan, sebahagian besar wangnya digunakan untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya pendidikan kewangan untuk membina pengetahuan dan kemahiran kewangan dalam kalangan golongan muda.

Selvaraj berkata, rakyat juga perlu meneliti perbelanjaan mereka supaya tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan seterusnya mengurangkan perbelanjaan untuk pembelian barang yang tidak diperlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, berkata pekerja sepatutnya menyimpan secara sukarela kira-kira 10% daripada gaji bulanan mereka dalam simpanan jangka panjang, sebagai tambahan 23% yang diketepikan daripada pendapatan bulanan bagi pembayaran KWSP.

“Ini bermakna kira-kira 30% daripada pendapatan bulanan seseorang itu adalah untuk masa depan. AKPK juga tidak menggalakkan pembayaran balik bulanan pinjaman yang jumlahnya melebihi 40% daripada pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Azaddin Ngah Tasir

Azaddin berkata, pemerhatiannya mendapati tekanan gaya hidup semasa berbeza berbanding masa lalu, seperti kehendak menikmati kopi mahal dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Sebelum ini, dengan memperoleh RM5,000 sebulan boleh memberikan kehidupan yang selesa, tetapi kini, jumlah yang sama dibelanjakan untuk pelbagai kos. Pembayaran balik pinjaman kereta, rumah dan sewa hartanah juga semakin tinggi, kini,” katanya.

Daripada data AKPK pada September, “pengurusan kewangan yang lemah” menjadi punca tertinggi rakyat Malaysia menanggung masalah hutang.

Ini merangkumi 22.1% yang tidak melangsakan hutang, diikuti dengan kegagalan atau kegagalan perniagaan pada 16.7%. Perbelanjaan perubatan yang tinggi (14.2%) turut menjadi faktor lain selain kegagalan mengawal penggunaan kad kredit (10%), hilang kerja (9%), dan kos sara hidup yang tinggi (7.4%).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, N. Gopal Kishnam mengaitkan sikap kurang menyimpan bagi generasi muda Malaysia dengan bayaran gaji yang rendah diterima.

“Kerajaan perlu mengemukakan dasar-dasar yang betul bagi meningkatkan pembayaran gaji supaya mencukupi bagi perbelanjaan dan simpanan,” kata Gopal Kishnam.

Beliau berkata, sejumlah besar pekerja mengeluarkan gaji mereka dalam tempoh hanya beberapa hari selepas dimasukkan ke dalam akaun bagi membuat bayaran pinjaman dan perbelanjaan lain.

“Simpanan KWSP saja tidak mencukupi. Jika pendapatan kita tidak cukup pun untuk kelangsungan hidup, bagaimana kami ingin menyimpan?” soalnya.

Bagi membolehkan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan boleh guna yang berlebihan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan mencadangkan supaya mengurangkan caruman bulanan KWSP oleh pekerja.

“Mungkin untuk sementara waktu, peratusan pendapatan yang dipotong ke dalam akaun KWSP pekerja boleh dikurangkan. Masa yang sukar memerlukan tindakan lebih drastik,” katanya.

Shamsuddin mencadangkan supaya kerajaan membenarkan majikan menyumbang lebih ke dalam simpanan KWSP pekerjanya berbanding menetapkan had siling 19%.

“Sebahagian majikan yang prihatin menyumbang sehingga 19% ke dalam akaun KWSP pekerjanya. Tetapi kenapa perlu dihentikan pada 19%? Jika sebahagian syarikat ingin membayar lebih, mengapa perlu menghalang mereka?” soalnya.

Penasihat kewangan bebas, Yap Ming Hui menekankan bahawa satu daripada tabiat penting yang perlu ada dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini adalah memastikan perbelanjaan yang betul berdasarkan pendapatan mereka.

Tambahnya lagi, perolehan pendapatan tinggi bukan jaminan kehidupan bebas hutang.

“Sesetengah orang percaya bahawa hanya kerana mereka memperoleh RM20,000 atau RM30,000 sebulan, mereka tidak akan menghadapi masalah. Tetapi perbelanjaan kamu tetap akan melebihi pendapatan jika kamu tidak berhati-hati,” katanya.

Yap berkata, `terlalu banyak godaan’ untuk rakyat Malaysia berbelanja, terutama bagi Gen Y.

“Promosi dan jualan murah agak kerap di sini. Banyak barangan mahal dan menarik di pasaran seperti telefon pintar.

"Jika digabungkan dengan kemudahan kad kredit, sangat mudah untuk berbelanja jika kamu tidak mengawal diri sendiri," katanya.

Yap percaya, satu amalan baik pada adalah supaya menyimpan sedikit, tidak kira berapa banyak atau betapa sedikit jumlah yang diperoleh seseorang itu.

"Tabiat itu perlu ditanam sejak kecil untuk melawan godaan berbelanja," katanya.

KWSP, Balqis Yusoff, Gen Y, AKPK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain