suria

Serbuk Kaca Seramik Kuatkan Simen Tulang - Penyelidik USM

GEORGE TOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilan serbuk kaca seramik yang berupaya menambah baik prestasi simen untuk proses penyembuhan tulang pesakit.

Ketua penyelidiknya Prof Radzali Othman yang juga pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM berkata produk 'bon'ciment' yang dihasilkan menggunakan adunan kaca seramik berasaskan silika (pasir) dan batu kapur itu turut berpotensi besar untuk rawatan memasukkan implan dalam tubuh pesakit.

"Bon'ciment yang dihasilkan oleh pasukan penyelidik saya adalah merujuk kepada simen tulang komposit (simen tulang gantian) hasil campuran seramik kaca bioaktif dengan simen tulang sedia ada," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata serbuk kaca biokatif yang dihasilkan perlu dicampur dengan simen tulang sedia ada bagi menambah baik kekuatan simen tulang gantian dan ia juga mampu mengatasi beberapa kelemahan dalam penggunaan simen sedia ada.

"Dengan campuran sebanyak lima gram bon'ciment ke dalam simen tulang sedia ada, ia dapat mengoptimumkan prestasi simen tulang gantian, termasuk dalam melipatgandakan keliatan simen.

"Simen tulang gantian akan jadi jauh lebih liat dan ia membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan tulang dengan implan yang mengakibatkan pesakit berasa tidak selesa dan terganggu," katanya.

Radzali berkata bon'ciment turut berupaya mengatasi masalah pengeluaran haba dalam semua keadaan pesakit yang menjalani rawatan berkaitan tulang apabila penggunaan simen akan menyebabkan pengeluaran haba ketika proses pempolimeran.

"Bila ada haba, sel-sel yang berada di sekitar kawasan rawatan akan rosak dan mati. Masalah itu dapat diatasi dengan penggunaan bon'ciment yang terbukti berkesan dengan pengeluaran haba yang begitu rendah," katanya.

Beliau berkata produk yang dibangunkan selama tiga tahun dengan kos RM400,000 itu telah melepasi kajian awal makmal dan ujian terhadap haiwan serta sekarang dalam proses klinikal.

"Memandangkan produk ini memfokuskan kepada manusia dan berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesihatan, kami perlu melalui pelbagai ujian sebelum boleh dikomersialkan penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga melihat unjuran pasaran adalah amat luas kerana ia merangkumi semua kegunaan perubatan dan kosnya lebih murah iaitu sehingga 50 peratus berbanding produk yang sama sekarang.

Anggaran kos pengeluaran bon'ciment ialah sekitar RM280 bagi setiap empat gram, katanya.

USM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain