suria

Bermodal RM500, Asbdullah Kini Tauke Puyuh

NIBONG TEBAL: Memulakan ternakan burung puyuh dengan modal RM500 pada 2009, nama 'Asbdullah Puyuh' kini gah pada kalangan penggemar daging burung puyuh dan juga pengusaha restoran di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini dan kawasan sekitar.

Menyifatkan sektor itu mempunyai masa depan yang cerah, pengusahanya Asbdullah Ali, 42, berhasrat mengembangkan pasaran ke seluruh Pulau Pinang dan Perak dalam masa terdekat.

"Selain menjadi pembekal daging segar, telur dan anak puyuh, saya juga membekalkan daging beku serta makanan untuk menternak puyuh.

"Kami juga menyediakan masakan berasaskan daging burung itu yang mempunyai penggemar tersendiri dan dijual di pasar-pasar sekitar daerah ini," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang sebelum ini bekerja kilang mula menjinakkan diri dalam bidang ternakan burung puyuh selepas kegawatan ekonomi dengan menerima bantuan Jabatan Veterinar yang membekalkan 100 ekor anak burung puyuh untuk diternak.

"Permulaan projek sememangnya susah memandangkan saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang ternakan.

"Ketika itu banyak anak puyuh mati kerana teknik penjagaan yang tidak betul tetapi saya tidak berputus asa dan terus belajar sehingga dapat perbaiki kelemahan," katanya.

Asbdullah berkata beliau kini menternak kira-kira 20,000 ekor burung puyuh pada satu-satu masa dan semua ternakan ditempatkan dalam 10 sangkar di bangsal bahagian belakang rumahnya di Kampung Sungai Setar Kecil, di sini.

Beliau yang merupakan Peserta Azam Tani di bawah Fama pada tahun 2013, berkata burung puyuh matang dalam tempoh 35 hari dan boleh mula dijual kepada pelanggan.

"Alhamdulillah dengan bantuan Fama dalam bentuk anak burung puyuh, makanan burung puyuh, peti sejuk beku, dulang penetasan yang bernilai RM10,000, saya telah dapat mengembangkan perniagaan," katanya.

Beliau turut menjual puyuh berperisa sate dan berempah dan sambutannya amat menggalakkan. 


Puyuh

Artikel Lain