suria

Bazar Ramadan TTDI: Pulut Udang Zakri Terlajak Laris

KUALA LUMPUR: Pastinya kecewa jika kunjungan ke bazar Ramadan semata-mata untuk membeli juadah kegemaran tidak tercapai kerana ia habis dijual, walaupun ketika itu masih pukul 4 petang.


Ia sesuatu yang tidak mustahil jika makanan atau minuman itu memenuhi citarasa ramai hingga laris dijual dalam masa singkat.

Itulah yang dinamakan rezeki Ramadan bagi peniaga, Zakri Tomirin, yang selama ini dikenali kerana menjual pulut udang di pasar malam Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.



Zakri sedang memanggang pulut udang di tapak bazar Ramadan TTDI

Sepanjang bulan mulia ini, pemuda berusia 23 tahun ini memberi tumpuan untuk berniaga di bazar Ramadan TTDI pula.

Berdasarkan barisan panjang pembeli yang menunggu giliran untuk mendapatkan tempahan masing-masing, pastinya hidangan itu dinanti-nantikan setiap kali tibanya Ramadan.

"Resipi pulut udang ini diwarisi daripada datuk saya. Walaupun kami dari Kuala Lumpur, tetapi sebenarnya resipi ini dari utara tanahair," katanya yang bersyukur kerana tidak perlu melakukan sebarang promosi untuk melariskan jualannya.

Kebiasaannya, proses penyediaan pulut udang iaitu mengukus pulut yang diletakkan sambal kelapa bercampur udang sebelum dibalut dengan daun pisang dilakukan di kediamannya di Setapak.

Kira-kira 700 pulut udang dibawa ke tapak bazar Ramadan itu sebelum ia dipanggang menggunakan arang untuk kira-kira lima minit sebelum dijual kepada pelanggan.

Bagi penggemar pulut udang, pastikan berkunjung ke tapak bazar Ramadan TTDI lebih awal jika mahu hidangan itu menjadi antara menu ketika berbuka nanti.

Selain itu, bazar yang sentiasa sibuk ini juga penuh dengan jualan kuih tradisional termasuk onde-onde, roti jala, murtabak dan juga sata.


Peniaga murtabak sibuk melayan permintaan pelanggan.

Warga Terengganu tentunya tidak dapat melepaskan peluang membeli sata.


Gerai onde-onde ini juga mendapat perhatian ramai

pulut udang, TTDI, Zakri Tomirin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ayam Padang

Artikel Lain