Kali ini, hotel bertaraf lima bintang ini menawarkan bufet Ramadan dengan tema 'Aroma Semenanjung' di Cinnamon Coffee House.
Menawarkan lebih daripada 140 hidangan menyelerakan, lokasi iftar yang ideal ini pastinya membuat anda tersenyum lebar.
Pilih sahaja makanan kegemaran yang diidamkan.
Antara yang perlu dinikmati adalah kambing golek berempah, daging gulai kawah, sup gear box, rendang Tok, nasi pelangi, puyuh goreng berempah dan sup tulang rawan.
Selain itu, turut disajikan pelbagai hidangan pasta, ketupat, lemang, sate, nasi kerabu, sayur lemak nangka, ayam tandoori dan banyak lagi.
Tentang rasa, anda tidak perlu risau kerana hidangan di sini terjamin kelazatannya.
Hidangan untuk bufet ini disediakan oleh chef terlatih dan berpengalaman.
Selain sajian tradisional Melayu, hotel ini turut menyediakan masakan India dan ala-Nyonya.
Bagi penggemar dim sum, anda boleh menikmati hidangan tersebut yang dijamin halal di sini.
Menjenguk ke kaunter manisan, mata terarah ke pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti cara berlauk, kuih lapis, bengkang ubi, lepat pisang, seri muka dan dodol.
Kalau mahu citarasa moden, bolehlah mencuba tart nanas, kek coklat, kek lobak merah, kek Red Velvet dan juga tart buah-buahan.
Bufet ini boleh dinikmati pada harga RM128++ untuk dewasa dan RM64++ untuk kanak-kanak.
Bufet mula disajikan pada pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam.